ALOR GAJAH - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turun ke peringkat akar umbi menyantuni masyarakat menerusi program peluncuran Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) sebagai medium untuk anak jati berbakti kepada penduduk kampung.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nizam Yahya yang juga anak jati Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara berkata, dengan penganjuran program ini MAIWP dapat menyantuni penduduk dengan memberi fokus kepada isu-isu berkaitan aspek kemiskinan, kesihatan dan pendidikan dalam kampung berkenaan.
Malah katanya, bagi menjamin manfaat daripada program itu, MAIWP turut menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM101,000 termasuk bantuan kepada masjid, surau, sekolah dan tidak ketinggalan golongan asnaf.
"Program ini tidak akan berakhir setakat, kerana MAIWP mensasarkan untuk mengadakan pelbagai program yang lebih menarik di kampung angkat ini dalam tempoh tiga bulan akan datang.
"Seperti mana apa yang disarankan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof agar program yang kita rancang tidak terhenti di sini namun perlu berterusan.
"Kalau kita tengok konsep Santuni Madani kampung angkat ini ia perlu dibuat tiga bulan sekali, maknanya kita akan turun empat kali di kampung ini dalam tempoh setahun," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Peluncuran Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) oleh Ab Rauf di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar.
Sementara itu, Ab Rauf berkata, beliau menyambut baik program murni seperti ini sekali gus mampu menjadi batu loncatan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi yang dinamik dan kesihatan yang lebih baik di kampung itu.
Beliau juga berharap program seumpama itu dapat dijalankan di kampung-kampung seluruh negeri ini sebagai platform untuk mengeratkan kerjasama dalam kalangan pemimpin kerajaan dan rakyat.
"Ia menjadi penanda aras dalam menilai bagaimana dasar yang dibuat oleh kerajaan mampu sampai ke akar umbi dan dinikmati oleh masyarakat tempatan," katanya.