JOHOR BAHRU - Sebanyak 20 aduan kes penipuan atau scammer permohonan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dikesan di negeri ini pada tahun lalu membabitkan kerugian RM155,000.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, scammer kini menggunakan laman web dan media sosial tertentu mengiklankan RMMJ dan perlu membayar sejumlah deposit untuk permohonan rumah.
Menurut beliau, hanya satu laman web sahaja bagi permohonan RMMJ iaitu eRumah Johor yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) dan tiada sebarang bayaran dikenakan.
"Lebih malang lagi, ada pengadu yang sudah membuat bayaran sehingga RM10,000 dengan scammer yang menjanjikan RMMJ ini dan mereka telah membuat laporan polis.
"Apabila saya tanya kepada mangsa yang ditipu ini, kebanyakan mereka bukan orang Johor. Mungkin dari Sabah, Sarawak atau luar daerah yang scammer sasarkan untuk ambil kesempatan menipu mereka dengan menawarkan rumah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan kunci rumah RMMJ kepada 346 pemilik di Bandar Putra di sini pada Ahad.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu lagi, keterujaan mahu mendapatkan RMMJ yang lebih murah daripada harga pasaran telah menarik orang ramai membuat permohonan walaupun tidak cukup syarat.
Jelasnya, keadaan itu dimanfaatkan scammer untuk menipu dengan menjanjikan rumah dengan meminta sejumlah deposit untuk memudahkan urusan.
"Pembeli dan pemohon diingatkan bahawa segala permohonan perlu dibuat terus kepada PKPJ menerusi laman sesawang eperumahan.
"Jangan mudah tertipu dengan helah ejen atau orang tengah yang kononnya mampu tawarkan rumah dengan kenakan bayaran deposit atau jalan mudah untuk dapatkan RMMJ," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, sehingga 31 Ogos lalu sebanyak 12,450 rumah RMMJ telah diserahkan kepada pemilik.
"Kerajaan negeri sasarkan untuk membina 30,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri menjelang tahun 2026.
"Ia mampu dicapai dengan dasar perumahan Johor yang mewajibkan pemaju perumahan mematuhi dasar 60-40 bermakna dalam satu-satu pembangunan pemaju masih perlu membina rumah mampu milik yang harganya RM300,000 dan ke bawah," katanya.