Rakyat Uzbekistan keluar mengundi, undi elektronik diperkenal buat kali pertama

Iklan
Buat kali pertama, lebih 20 juta rakyat Uzbekistan diberi pilihan untuk mengundi secara fizikal atau elektronik. Foto Bernama

TASHKENT - Rakyat Uzbekistan mula keluar mengundi seawal 8 pagi Ahad dalam pilihan raya Parlimen yang berlangsung sehingga 8 malam.

Buat kali pertama, lebih 20 juta rakyat Uzbekistan diberi pilihan untuk mengundi secara fizikal atau elektronik.

Iklan
Iklan

Pemerhatian Bernama mendapati cuaca baik setakat 10.30 pagi menggalakkan sebahagian besar penduduk Tashkent dari pelbagai lapisan usia untuk keluar melaksanakan tanggungjawab mereka.

Tinjauan di pusat mengundi ke-19, di Jalan Mustaqillik, daerah Mirzo Ulugbek, tengah ibu kota Tashkent menunjukkan proses pengundian berjalan lancar dengan kemudahan disediakan untuk pengundi menanda di kertas undi serta dua terminal bagi undian elektronik.

Iklan

Pusat ini turut menjadi tumpuan media antarabangsa yang membuat liputan mengenai pilihan raya Uzbekistan.

Pengurus pusat mengundi ke-19, Ximmatov Davlat Axatkulovich memaklumkan bahawa pengundi sudah berbaris sebelum pusat mengundi dibuka pada 8 pagi.

Iklan

Temubual Bernama bersama Axatkulovich, yang bertutur dalam bahasa Uzbek, diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Gulzoda Utkurova, warga Uzbek yang juga juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di Pulau Pinang pada 2023.

Menurut Axatkulovich, setakat 10 pagi waktu tempatan, lebih 300 orang mengundi di pusat itu, dengan 10 pengundi memilih untuk menggunakan elektronik.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, Zayniddin Nizamkhodjayev dalam taklimat yang disiarkan di stesen televisyen kerajaan, Uzbekistan 24, menyatakan sebanyak 11,028 pusat mengundi dibuka hari ini.

Satu juta pengundi dalam negara dan 132,667 pengundi luar negara mengambil bahagian dalam pengundian awal yang berlangsung dari 16 hingga 23 Oktober, katanya.

Stesen televisyen yang sama turut melaporkan bahawa Presiden Shavkat Mirziyoyev mengundi di pusat mengundi ke-59 di daerah Mirzo Ulugbek pada 9 pagi.

Awal bulan ini, Duta Uzbekistan ke Malaysia, Karomiddin Gadoev memberitahu Bernama bahawa pusat pengundian juga dibuka di 59 misi diplomatik Uzbekistan di seluruh dunia, termasuk di Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur.

Lima parti politik menyertai pilihan raya kali ini: Gerakan Usahawan dan Ahli Perniagaan - Parti Demokratik Liberal Uzbekistan (O’zLiDeP), Parti Demokratik 'Milliy Tiklanish', Parti Ekologi Uzbekistan, Parti Demokratik Rakyat, dan Parti Demokratik Sosial 'Adolat'. - Bernama