REE: Kerajaan Persekutuan digesa keluarkan SOP eksplorasi

Iklan
Sanusi bergambar kenangan selepas menurunkan tanda tangan sebagai simbolik perasmian The Greater Kedah pada Ahad.

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan digesa mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) eksplorasi unsur nadir bumi (REE) dengan segera bagi mengelakkan hasil mineral itu terus dieksport secara haram ke luar negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana terdapat segelintir pihak melakukan penyelewengan dengan mengisytiharkannya sebagai lanthanite bagi membolehkan ia dieksport ke luar negara.

Iklan
Iklan

"Saya pun bimbang berlaku penyelewengan kerana apa yang telah berlaku sekarang isytihar REE sebagai lanthanite, tak tahu berapa banyak sudah keluar, saya rasa mereka (kerajaan Persekutuan) tahu berkenaan ini.

"Ia bukan berlaku di Kedah tapi di negeri lain, saya dah beritahu dulu di seluruh negara ada 25 lombong haram, hanya ada satu di Kedah, negeri lain berlambak tapi kenapa hanya di Kedah yang ada satu sahaja mereka bising. SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pergi tangkap mereka, tak kira siapa," katanya ketika sidang media selepas melancarkan The Greater Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini pada Ahad.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah mempunyai SOP sendiri namun tidak dapat diguna pakai kerana ia di bawah kuasa kerajaan Persekutuan.

"SOP kita itu merangkumi proses eksplorasi, kaedah melombong termasuk tidak membenarkan penebangan pokok.

Iklan

"Cuma apabila kita bawa keluar REE itu kita tak boleh jual ke mana-mana, sebab ia perlu medapatkan pelepasan Kastam kerana belum ada SOP daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Jelasnya, seorang rakan sejawatnya ada mencadangkan agar kerajaan negeri tidak menunggu SOP kerajaan Persekutuan dan memprosesnya sendiri.

"Jadi nampaknya ada negeri kena mendahului," katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri sering mendapatkan perkembangan SOP terbabit daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim namun tiada sebarang maklumat terkini.

"Mungkin terdapat beberapa pertimbangan dibuat kementerian berkaitan berikutan aktiviti teknologi berkaitan REE hanya dikuasai oleh China dan Amerika Syarikat yang kini dalam persaingan.

"Pada masa ini teknologi tertinggi untuk proses REE adalah China, mereka boleh buat pengasingan 17 elemen, Amerika Syarikat baru tujuh, kita harap teknologi itu dapat dipindahkan ke sini tapi China buat dasar tidak mahu berkongsi, negara itu mahu bahan mentah sahaja, saya rasa ini lah yang menjadi pertimbangan kementerian,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM mengesyorkan supaya kerajaan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penyelewengan unsur nadir bumi (REE) berulang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata sekiranya tidak dilaksanakan, ia memudahkan pihak tidak bertanggungjawab untuk melombong tanpa kebenaran atau mencuri hasil REE.