Peniaga sorok minyak peket, enggan jual kepada pengguna

Iklan
Minyak peket yang disorok disita KPDN dalam operasi bersepadu yang dijalankan selepas menerima maklumat awam menerusi e-Aduan.

KUALA LUMPUR - Puluhan kotak minyak masak peket disorokkan dalam stor penyimpanan sebuah kedai di Jalan Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri.

Taktik menyorok minyak peket itu terbongkar selepas siasatan dijalankan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menerima maklumat menerusi e-aduan KPDN.

Iklan
Iklan

Penguat kuasa telah ke premis berkenaan dengan melakukan penyamaran sebagai pembeli untuk proses uji beli.

KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan minyak masak peket telah habis dijual.

Iklan

"Berikutan rasa curiga dan rasa tidak puas hati dengan alasan yang diberikan, anggota pegawai penguat kuasa KPDN WPKL beruniform telah memasuki premis tersebut dan berjumpa dengan penyelia kedai berkenaan.

"Pemeriksaan secara menyeluruh di premis perniagaan tersebut mendapati puluhan kotak minyak masak peket di dalam stor penyimpanan," katanya menerusi kenyataan.

Iklan

Ujarnya, pihaknya telah menyita sebanyak 935 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi bernilai lebih RM3,000.

"Tindakan di ambil di bawah Seksyen 16 (1) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika sabit salah boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara maksimun lima tahun.

"Operasi bersepadu ini turut melibatkan pasukan KPDN Melaka menerusi inisiatif baharu di bawah Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Gempur)," katanya.

Ujarnya, Gempur berperanan menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

"KPDN juga menggesa masyarakat untuk bersama-sama menyokong inisiatif Kita Gempur dan menjadi sebahagian daripada gerakan massa agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara dapat dibanteras.

"Aduan juga boleh dibuat melalui https://eaduan.kpdn.gov.my, 1-800-886-800, e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Whatsapp 019-848 8000," katanya.