'Herriz sudah dikejutkan ibunya, mungkin tidur semula' - Ibu saudara

Iklan
Seorang kanak-kanak rentung dalam kebakaran melibatkan 38 rumah di Kampung Jati, Batu 5, Tawau pada Ahad.

TAWAU - Putra Herriz Azmil, 5, yang rentung dalam kebakaran membabitkan 38 rumah di Kampung Jati, Batu 5 di sini sedang nyenyak tidur ketika kejadian.

Ibu saudara mangsa, Noor Hajijah Matrol, 43, berkata, anak saudaranya itu sudah dikejutkan ibunya dan mungkin tidur semula.

Iklan
Iklan

"Adik saya beritahu dia sudah bawa keluar, dia ingat bapanya sudah bawa anaknya keluar dari rumah tetapi ketika itu keadaan sungguh kelam kabut.

"Selepas itu baru sedar anak saudara hilang, puas kami cari sampai merata tempat namun tak jumpa tetapi ada yang cakap dengar budak menangis... anak saudara saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4 di sini selepas selesai urusan di unit forensik Hospital Tawau," katanya kepada Bernama.

Iklan

Noor Hajijah berkata, ketika kejadian, semua 13 ahli keluarganya berada di rumah serta ada yang sudah nyenyak tidur dan kejadian berlaku sewaktu bekalan elektrik terputus selepas ribut serta hujan lebat.

Seorang lagi mangsa, Ansar Mohd Suri, 56, berkata, dia menyedari berlaku kebakaran selepas mendengar teriakan jiran.

Iklan

"Sebelum kejadian saya tidak dapat tidur, biasanya sebelum 9 malam saya sudah tidur tetapi malam tadi saya rasa gelisah sepanjang malam, cucu-cucu saya pun menangis tidak dapat tidur.

"Selepas itu saya dengar jiran berteriak ada kebakaran dan saya lari keluar melihat beberapa rumah jiran terbakar, saya bergegas dan arahkan isteri dan anak bawa keluar cucu, selamatkan diri," katanya yang tinggal di rumah itu lebih 10 tahun.

Ansar menganggap kejadian itu ujian ALLAH serta reda dengan apa yang berlaku selain bersyukur semua ahli keluarganya selamat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Balung, Datuk Hamild Awang yang meninjau lokasi kebakaran berkata, Jabatan Kebajikan sedang mengemas kini jumlah mangsa terjejas.

"Setakat 2 petang ini, 48 ketua keluarga mendaftar dengan Jabatan Kebajikan sebagai mangsa kebakaran.

"Kebakaran berlaku pada 12.45 tengah malam, saya difahamkan punca kebakaran mungkin daripada api lilin, ketika itu bekalan eletrik terputus selepas berlaku ribut dan hujan lebat, saya berharap jawatankuasa bencana dapat mengambil keputusan segera bagi penempatan sementara mangsa kebakaran," katanya.

Beliau berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung turut diarah untuk memberikan bantuan kepada penduduk terjejas termasuk menyediakan makanan. - Bernama