ARAU - Berbekalkan harapan untuk mengubah nasib keluarga menjadi antara pendorong kepada anak pengawal keselamatan, Lok Mee Wan berjaya menerima Anugerah Diraja pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Kali Ke-16 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini hari ini.
Mee Wan, 22, graduan Diploma Pengurusan Pelancongan yang berasal dari Kamunting, Perak itu turut menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum serta Anugerah Pengarah pada majlis konvokesyen yang dihadiri Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Beliau berkata bapanya Lok Tart Chon, 59, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta di Kamunting dan ibunya S. Kanagawaly, 64, menjadi pembakar semangat kepadanya untuk komited belajar bagi mencapai kejayaan.
"Pengajiandalam bidang ini ada enam semester dan semua semester saya dapat keputusan pointer dekan. Saya juga mempunyai tekad sendiri untuk berjaya dalam hidup,” katanya kepada pemberita selepas sidang pertama majlis konvokesyen itu di Dewan Harumanis PTSS di sini hari ini.
Anak kedua daripada dua beradik dan fasih berbahasa Melayu, Tamil, Mandarin dan Inggeris itu berkata beliau mempunyai minat dalam bidang pelancongan serta media dan komunikasi dengan menaruh impian untuk bergelar wartawan penyiaran mahupun penyampai berita pada masa depan.
"Walaupun saya belajar dalam bidang pelancongan di PTSS tetapi di PTSS tiada had atau tak menghalang pelajar menceburkan diri dalam bidang lain yang mana saya pernah menjadi Penerbit Berita bagi Kelab Berita Poli TV News di PTSS selama tiga semester,” katanya.
Mee Wan yang kini bekerja sebagai Guest Service Experience, Front Office di sebuah hotel mewah di Langkawi berkata, pencapaian tertinggi beliau dalam bidang media dan komunikasi ialah meraih gelaran juara untuk pertandingan English Newscasting Online menerusi BudiDarma English Festival 2021 (BUDAEFEST) anjuran Universitas Budi Darma di Medan, Indonesia pada 2021.
"Pertandingan ini disertai Malaysia, Indonesia dan Thailand. Saya memang minat menonton berita dan membaca surat khabar sejak kecil lagi. Saya juga mendapat tempat kedua dalam Ikon Siarawan bagi dua tahun berturut-turut pada 2021 dan 2022,” katanya.
Mee Wan yang pada masa ini turut membuat perniagaan kecil-kecilan mengait benang itu berkata, dia optimis dengan keupayaan menguasai kemahiran dalam bidang pelancongan serta media dan komunikasi memberikannya kelebihan untuk mengharungi cabaran masa depan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat ke majlis konvokesyen itu bagi mewakili Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Majlis konvokesyen yang berlangsung sebanyak tiga sidang itu bermula hari ini hingga Selasa ini meraikan 1,155 graduan lulusan diploma, asasi dan sijil dalam pelbagai jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang tamat pengajian bagi tahun lepas dan tahun ini. - Bernama