Serangan Israel: Parlimen Iran bersidang secara tertutup, bincang langkah tindak balas

Iklan
Sehari selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran utama di Iran, Parlimen Iran mengadakan mesyuarat tertutup pada Ahad untuk membincangkan langkah tindak balas.

TEHERAN - Sehari selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran utama di Iran, Parlimen Iran mengadakan mesyuarat tertutup pada Ahad untuk membincangkan langkah tindak balas, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf yang merupakan bekas jeneral dalam Pasukan Pengawal Revolusi Islam, mempengerusikan perbincangan itu, menurut laporan media Iran.

Iklan
Iklan

Parlimen Iran mempunyai pengaruh yang terhad, dengan kuasa sebenar tertumpu kepada kepimpinan negara yang diketuai oleh Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.

Namun, selepas pilihan raya tahun ini, majoriti ahli Parlimen yang terdiri daripada kumpulan konservatif mungkin mempengaruhi sentimen dalam kalangan sayap radikal tentera.

Iklan

Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada awal pagi Sabtu, mendakwa bahawa mereka menyasarkan kemudahan yang digunakan untuk membuat peluru berpandu yang dilancarkan ke arah Israel serta lokasi peluru berpandu darat ke udara.

Media rasmi Iran melaporkan bahawa empat askar terbunuh dalam serangan itu.

Iklan

Menurut agensi berita IRNA, Ghalibaf berkata, tindak balas ketenteraan daripada Iran terhadap serangan Israel pasti berlaku, walaupun beliau menggambarkannya sebagai"pasif", sekali gus merendahkan skala tindak balas itu.

Ghalibaf turut merujuk kepada hak mempertahankan diri selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada masa yang sama, beliau menekankan keperluan untuk gencatan senjata di Lubnan dan Semenanjung Gaza. - Bernama