Orang ramai dijemput sertai Majlis Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari bulan depan

Iklan
Mohd Na’im. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Orang ramai dijemput sama-sama menghadiri Majlis Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari Antarabangsa 2024 anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Masjid Putra, Putrajaya pada 10 hingga 21 November ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, program itu bakal menghimpunkan para ulama serta ilmuwan tersohor dari dalam dan luar negara untuk menyampaikan syarahan serta memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap hadis sahih Al-Bukhari.

Iklan
Iklan

"Saya menyeru semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyertai majlis ini, kerana inilah peluang untuk menyelami khazanah ilmu yang agung, meraih hikmah yang tidak ternilai, dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan syiar Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, program itu bukan sahaja sebuah perhimpunan ilmu, tetapi juga platform menyuburkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat, selari dengan prinsip kerajaan Madani yang menekankan perpaduan, kesejahteraan dan kemajuan berteraskan nilai-nilai Islam.

Iklan

Program itu juga adalah antara usaha kerajaan Madani untuk menjunjung tinggi syiar agama Islam dan memperkukuh penghayatan ilmu dalam masyarakat, katanya.

Ia dianjurkan oleh agensi-agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan At-Taibah dan Pertubuhan Islami. - Bernama

Iklan