JOHOR Darul Ta'zim (JDT) menepati status mereka sebagai jagoan saingan Liga Malaysia (Liga-M) apabila menumpaskan Selangor FC 3-0 di laman lawan sebentar tadi.
Pemain sensasi, Bergson da Silva meledak dua gol, manakala Romel Morales satu jaringan untuk memacu kemenangan skuad Harimau Selatan dalam aksi Liga Super musim 2024/25.
Kemenangan di hadapan 10,250 penonton itu mengukuhkan kedudukan skuad Harimau Selatan di puncak liga dengan 34 mata berkelebihan lapan mata meninggalkan Selangor di tangga kedua.
Keputusan tersebut juga meranapkan impian skuad Gergasi Merah untuk menebus kecewa tewas 1-6 kepada JDT dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ogos lalu.
Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, pasukan tuan rumah berpeluang di depan, namun percubaan Ali Olwan ditepis dengan baik oleh penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.
Skuad Harimau Selatan juga berpeluang membuka tirai jaringan, tetapi Azim Al Amin tangkas di gawang menafikan percubaan Oscar Arribas.
Gol yang dicari akhirnya muncul buat pasukan bimbingan Hector Bidoglio apabila Morales menanduk dengan baik hantaran sepakan percuma Juan Muniz pada minit ke-29.
JDT kemudian menggandakan jaringan dan kali ini tiba giliran Bergson yang menyudahkan dengan sempurna hantaran lintang Arif Aiman Hanapi menuju satu minit ke bilik persalinan.
Menjengah separuh masa kedua, Nidzam Jamil mencatur strategi baharu apabila membawa masuk Safuwan Baharudin dan Alvin Fortes bagi menggantikan Aliff Izwan Yuslan serta Nikola Jambor.
Bagaimanapun di sebalik pertukaran itu, skuad Harimau Selatan menambah derita Selangor apabila menembusi gawang tuan rumah buat kali ketiga selepas Arif Aiman dijatuhkan oleh Abualnadi dalam kotak penalti.
Bergson sekali lagi menjadi duri dalam daging ke atas skuad Gergasi Merah apabila menyudahkan dengan tenang sepakan penalti pada minit ke-54.
Kemasukan Mukhairi Ajmal yang baru pulih daripada kecederaan juga tidak banyak mengubah situasi apabila JDT ampuh bertahan dan keputusan kekal sehingga wisel penamat.