Pegawai Kesuma diminta turun ke setiap negeri, dengar masalah pekerja - Steven

Iklan
Steven berucap pada majlis sambutan Deepavali Kesuma dan HRD Corp 2024 pada Ahad. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Pegawai di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) diminta turun ke setiap negeri untuk mendengar sendiri pandangan serta mendalami masalah yang dihadapi oleh pekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, ia selaras dengan aspirasi 3K Kesuma iaitu untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja.

Iklan
Iklan

"Kita harus bersama-sama dengan pekerja kerana tidak guna kita ada di dalam bilik yang berpenyaman udara, ada di pejabat di Putrajaya ... kita harus turun ke negeri-negeri, tidak kiralah di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Kelantan semua negeri kita akan turun padang dengar pandangan pekerja, faham kesusahan pekerja dan kemudian selesaikan masalah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali Kesuma dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini malam ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Iklan
Tun Ahmad Fuzi (empat, kanan) dan Steven (empat, kiri) bersama penerima sumbangan pada majlis sambutan Deepavali Kesuma dan HRD Corp 2024 pada Ahad. Foto Bernama

Steven dalam pada itu berkata, kerajaan sentiasa mengambil berat akan kebajikan masyarakat India dan ia dibuktikan menerusi pelaksanaan program peningkatan kemahiran, Malaysian Indians Skills Initiative (MISI) melibatkan dana berjumlah RM30 juta.

Beliau berkata, program inisiatif Kesuma dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu diwujudkan khusus bagi membantu anak-anak muda dalam komuniti belia India untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang, seperti robotik, kecerdasan buatan (AI), komputer dan pendigitalan seterusnya berpeluang mendapat gaji yang lebih tinggi.

Iklan

Terdahulu, Steven turut menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kesuma dan HRD Corp kepada enam pertubuhan kebajikan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan masing-masing menerima RM10,000 berserta hamper bersempena dengan perayaan Deepavali yang bakal disambut 31 Oktober ini.

Sebanyak 146 penerima daripada keluarga kurang berkemampuan di sekitar negeri ini turut menerima sumbangan berupa bakul makanan serta pemberian kerusi roda dan kotak prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada lima penerima. - Bernama