MADRID - Kematian seorang lelaki berketurunan Afrika selepas operasi polis hampir seminggu lepas mencetuskan lebih banyak tunjuk perasaan di ibu kota Portugal, Lisbon, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Beberapa ribu orang turun ke jalanan pada Sabtu untuk membantah keganasan polis dan diskriminasi, lapor agensi berita Europapress.
Gambar menunjukkan peserta membawa sepanduk dengan slogan 'Keadilan untuk Odair Moniz' sebagai memperingati lelaki berusia 43 tahun itu yang berasal dari Kepulauan Cape Verde.
Sehingga Ahad, masih belum jelas apa yang berlaku pada awal pagi 21 Oktober dan punca seorang pegawai polis melepaskan tembakan terhadap Moniz.
Moniz dilaporkan melawan ketika dia ditahan Bandar Amadora, yang merupakan sebahagian kawasan metropolitan Lisbon, dan Moniz dilapor memiliki senjata tajam ketika anggota polis itu mengejarnya, menurut laporan media yang memetik sumber polis.
Lelaki itu dibawa ke hospital dan doktor mengesahkan kematiannya. Polis kini juga menyiasat kes mereka sendiri.
Menurut laporan media, terdapat rusuhan di beberapa kawasan di sekitar Lisbon sejak insiden berkenaan, dengan kereta dan tong sampah dibakar sebagai tanda tunjuk perasaan.
Ini terutamanya berlaku di kawasan yang dihuni ramai pendatang, termasuk mereka dari bekas jajahan Portugis di Afrika, dan yang dianggap kawasan yang panas dengan masalah sosial.
Sejak Isnin, terdapat lebih 100 kejadian kekacauan awam di Lisbon, lapor akhbar Público.
Lebih 20 orang ditangkap berkaitan insiden ini, dan tujuh lagi cedera, dengan seorang daripadanya mengalami kecederaan serius. Moniz dilaporkan akan dikebumikan pada Ahad. - Bernama-dpa