Sukar kenal pasti buah ada sisa kimia

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Mohd Fahmi

SHAH ALAM - Sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum dibenarkan adalah kuantiti bahan sebatian yang amat tinggi dan boleh menyebabkan gangguan kepada kesihatan pengguna.

Ketua Pusat Pengajian Sains Pertanian dan Bioteknologi (FBIM) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Mohd Fahmi Abu Bakar berkata, antara kesan langsung kepada kesihatan ialah boleh merosakkan sistem pencernaan dan organ seperti buah pinggang, otak dan jantung, vertigo serta sesak nafas.

Iklan
Iklan

"Setiap buah atau makanan mempunyai tahap sisa kimia yang dibenarkan bagi melindungi kesihatan pengguna. Perkara ini memang susah untuk dielakkan kerana kebanyakan produk berkenaan memang mempunyai bahan kimia berbahaya sebagai pestisid atau bahan pengawet.

"Sebagai contoh, jika kuantiti bahan kimia yang dibenarkan hanyalah 5 miligram (mg). Jadi, paras yang melebihi 5mg boleh memberi kesan kepada kesihatan pengguna jika buah atau makanan tersebut dimakan secara berkala.

Iklan

"Kesan yang diterima terbahagi kepada dua iaitu dalam tempoh jangka pendek atau jangka panjang. Bergantung kepada pengambilan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Ahad dilapor akan menjalankan siasatan dan pemeriksaan terhadap anggur import jenis Shine Muscat yang dikatakan mengandungi sisa kimia berbahaya sebagaimana dakwaan oleh Thailand.

Iklan

Sementara itu, ditanya mengenai bagaimana hendak mengenal pasti buah atau makanan mengandungi sisa kimia berbahaya melebihi paras maksimum dibenarkan, Mohd Fahmi menjelaskan ia agak sukar untuk dilihat secara mata kasar.

"Kebiasaannya, untuk mengenal pasti makanan yang mengandungi bahan kimia berbahaya boleh dilihat daripada bahan-bahan untuk menghasilkan makanan tersebut.

"Sebagai contoh, pengguna boleh mengenal pasti bahan seperti pewarna, bahan pengawet atau bahan kimia tambahan yang ditambah ke dalam makanan tersebut.

"Jika untuk buah-buahan, kebiasaannya, buah yang cantik dan tiada ulat telah disembur dengan pestisid untuk mengelakkan ia rosak,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, buah atau sayur tersebut masih boleh dimakan dengan membuat rawatan seperti rendam dalam air garam atau cuka untuk meneutralkan bahan kimia tersebut.