Selesema, batuk gara-gara anggur 'Shine Muscat'?

Iklan
KPKM akan melakukan pemantauan dari masa ke masa bagi memastikan tiada kes keracunan dan hanya hasil pertanian yang selamat dibawa masuk ke negara ini. - Gambar hiasan

SEBAIK Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan bakal mengambil tindakan jika anggur jenis ‘Shine Muscat’ didapati mengandungi bahan kimia berlebihan, tidak kurang juga warganet yang berkongsi pengalaman masing-masing selepas menikmati buah tersebut.

Mana tidaknya, buah yang menjadi kegemaran ramai selepas tular di media sosial sejak beberapa tahun kebelakangan ini rupa-rupanya boleh mengakibatkan keracunan makanan.

Iklan
Iklan

Terdahulu, The Thai Pesticide Alert Network (Thai-PAN) memberi amaran tentang pencemaran anggur Shine Muscat selepas mendapati kebanyakan sampel dipercayai mengandungi sisa bahan kimia berbahaya melebihi tahap maksimum yang dibenarkan.

Rentetan daripada itu, Thai-PAN dan Majlis Pengguna Thailand (TCC) menggesa Kementerian Kesihatan Awam untuk mengambil tindakan segera termasuk mengarahkan pengimport dan pengedar untuk melabel negara asal anggur ‘Shine Muscat’ terlebih dahulu sebelum dipasarkan.

Iklan

Ada dalam kalangan warga maya mengakui bimbang dan tidak senang duduk kerana pernah memakannya meskipun umum mengetahui ‘Shine Muscat’ tidak dijual pada harga murah lebih-lebih lagi jenis yang diimport dari Jepun.

Menurut perkongsian pengguna di beberapa media sosial, kebanyakannya berdepan masalah kesihatan yang sama seperti demam, selesema, sakit tekak, batuk dan asma selepas menikmati anggur tersebut.

Iklan

Meskipun masing-masing memberitahu sudah membersihkannya berulang kali, kesan masih terasa bahkan ada yang mengambil masa berminggu-minggu untuk pulih seperti sediakala.

Ada juga golongan yang ingin mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil buah-buahan dalam diet harian, namun lain pula berlaku.

Bukan itu sahaja, terdapat segelintir penggemar 'Shine Muscat' yang mengatakan buah hibrid tersebut manis luar biasa, tidak sama seperti anggur jenis lain.

Apa pun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan belum menerima sebarang aduan berhubung kejadian tidak diingini melibatkan keracunan ‘Shine Muscat’.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kes keracunan dan hanya hasil pertanian yang selamat dibawa masuk ke negara ini.

Justeru, orang awam yang berdepan masalah kesihatan sama ada jangka pendek atau panjang selepas memakan ‘Shine Muscat’ diminta membuat laporan kepada pihak berwajib agar isu ‘buah cantik tetapi banyak bahan kimia’ itu dapat ditangani sebaik mungkin.