JEMPOL- Pasar malam secara keseluruhannya masih mengekalkan ‘suasana pasar malam’ itu sendiri.
Yang Dipertua Kelab Rekreasi dan Kebajikan Majlis Perbandaran Jempol (KRK MPJL), Mohd Nor Ismail berkata, laungan penjual, pujukan, kata-kata manis untuk mempromosikan jualan masih menjadi identiti pasar malam.
"Bunyi generator pun sudah menjadi signifikan dengan suasana pasar malam. Makanan-makanan yang ada di pasar malam juga punya keistimewaan yang tiada di mana-mana platform.
"Ada juga peniaga mengambil inisiatif dengan membuat jualan secara langsung di media sosial seperti TikTok, untuk mencipta kelainan. Dengan cara itu, dapatlah warga maya tahu produk yang mereka jual,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohd Nor, berlaku kenaikan harga di pasar malam, tetapi di paras terkawal yang mana pengunjung tiada masalah untuk membeli menu dan barangan pilihan.
Peniaga murtabak, Ahzam Zainal, 36, berkata, dia berharap agar pasar malam masih menjadi pilihan orang ramai untuk berbelanja.
"Pengalaman saya, orang tidak akan takut berbelanja jika mereka mempunyai lebihan duit, contohnya bantuan kerajaan dahulu melalui BR1M dan sebagainya sangat membantu merangsang ekonomi setempat.
"Bagaimanapun tidak dinafikan kuasa membeli semakin kurang, pasar malam bukan lagi pilihan untuk berbelanja. Ada sesetengah tempat jualan merosot hingga 50 peratus berbanding tahun lepas.
"Selain itu, waktu berniaga semakin singkat. Majoriti orang tidak keluar membeli selepas jam 8 malam,” katanya.