SELANGOR FC dituntut untuk kembali bangkit selepas tewas 0-3 kepada penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.
Malah, pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil menyifatkan perlawanan tumpuan menentang Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio tersebut berkaitan dengan kemenangan.
"Kalah tetap kalah, kita tidak gembira dengan kekalahan ini. Kalau kalah gembira, ada yang tidak kena dengan bahagian kejurulatihan.
"Ia selalu mengenai kemenangan, kita cuba nak menang dan jadikan menang satu budaya dan tidak menjadi pada hari ini. Kita perlu bangkit lebih baik dan tinggi selepas ini," katanya selepas perlawanan berkenaan.
Bergson da Silva kemudian menjadikan kedudukan 2-0 selepas menyudahkan sentuhan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-44.
Bergson sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Selangor apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Mohammad Abualnadi menjatuhkan Arif Aiman pada minit ke-54.
Sementara itu, Nidzam mengakui gembira dengan kehadiran semula Safuwan Baharuddin dan Mukhairi Ajmal dalam perlawanan tersebut.
"Kita kehilangan Noor Al Rawabdeh dan terbaharu Jimmy (Ahmad Khuzaimi Piee), kita hendak kurang senarai kecederaan.
"Namun kehadiran semula Safuwan Baharuddin dan Mukhairi Ajmal sesuatu yang baik untuk pasukan," katanya.
Keputusan itu menyaksikan Selangor kekal di kedudukan kedua dengan 26 mata selepas mengharungi 13 perlawanan lapan mata di belakang JDT yang memperoleh 34 mata kurang satu perlawanan.
Selangor selepas ini akan berdepan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 November manakala JDT berdepan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 1 November.