Tubuh Pusat Operasi Bersepadu di Flat Pandan Mewah

Iklan
Ahli Parlimen Pandan yang juga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli turut turun padang dalam program bersama rakyat di Pandan Mewah, baru-baru ini. Gambar kecil: Ahmad Fauzi

AMPANG - Pusat Operasi Bersepadu akan diwujudkan di padang Flat Pandan Mewah, di sini, dalam masa terdekat.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Ekonomi, Ahmad Fauzi Mohd Kamis berkata, peruntukan untuk mewujudkan pusat operasi itu telah diluluskan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Iklan
Iklan

"Satu mesyuarat telah diadakan bersama kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pandan Mewah, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Badan Pengurusan Bersama (JMB), Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pusat Khidmat Parlimen Pandan dan Persatuan Penduduk Flat Pandan Mewah.

"Ahli Parlimen Pandan telah mencadangkan satu pondok khas diwujudkan di padang tersebut yang boleh digunakan oleh semua agensi kerajaan termasuk KRT Pandan Mewah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Ahmad Fauzi berkata, pihaknya juga ada menerima statistik indeks jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berkaitan isu jenayah di Flat Pandan Mewah.

"IPD Ampang Jaya turut meningkatkan rondaan di kawasan tersebut susulan aduan daripada penduduk," ujarnya.

Iklan

Ahmad Fauzi berkata, pihak polis juga boleh menempatkan anggotanya di Pusat Operasi Bersepadu untuk memantau aktiviti jenayah dan aduan di kawasan tersebut.

"Penduduk mahu kehadiran anggota beruniform di kawasan tersebut bagi menangi isu jenayah yang melibatkan warga asing," katanya.

Terdahulu, penduduk Pandan Mewah, di sini, meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila isu lambakan warga asing dipercayai tidak mempunyai dokumen sah selain pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tidak dapat ditangani dengan berkesan.

Berikutan itu, wartawan Sinar Harian telah membuat tinjauan di kawasan penempatan itu bagi memastikan dakwaan terbabit.

Tinjauan mendapati, penempatan itu merangkumi 12 blok flat selain terdapat beberapa premis perniagaan termasuk kedai makan, kedai runcit dan kedai cuci kenderaan.

Kawasan itu turut dilengkapi dengan padang permainan, namun tinjauan mendapati lokasi itu ibarat dikuasi 'orang luar' terutama di waktu petang seawal jam 5 petang.

Ada yang berniaga pakaian, makanan dan peralatan dapur seperti pinggan, periuk dan mangkuk.

Lebih 'menakutkan', biar pun dipercayai ada antara warga asing itu yang tidak memiliki dokumen sah, mereka seperti bebas bergerak selain bekerja di premis kedai dan menjual barangan di kaki lima.