PRU: Parti pemerintah Jepun hilang majoriti

Iklan
Shigeru Foto AFP

TOKYO - Gabungan parti pemerintah Jepun kehilangan majoritinya di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya umum pada Ahad, memberikan tekanan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba untuk mendapatkan sokongan luar bagi membentuk kerajaan yang stabil.

Walaupun berdepan kekalahan, Ishiba menyatakan komitmennya untuk membentuk kerajaan baharu yang diketuai oleh partinya.

Iklan
Iklan

Pihak pembangkang yang terdiri daripada kumpulan liberal dan konservatif, turut berdepan cabaran dalam membentuk gabungan kerana perbezaan matlamat dasar, lapor Agensi Berita Kyodo.

Keputusan mengecewakan itu menonjolkan ketidakpercayaan yang semakin meningkat terhadap Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah didorong oleh skandal dana politik, menandakan perubahan sokongan sejak ia kembali berkuasa pada 2012.

Iklan

Ishiba yang kelihatan muram, menyifatkan keputusan itu sebagai"sukar."

Keputusannya untuk membubarkan Dewan Rendah hanya lapan hari selepas memegang jawatan pada 1 Oktober dan mengadakan pilihan raya ternyata membawa padah.

Iklan

Masalah LDP bertambah buruk pada penghujung kempen apabila didedahkan bahawa sebanyak 20 juta yen (AS$132,000) diperuntukkan kepada cawangan tempatan yang diketuai oleh calon yang tidak mendapat sokongan dan terlibat dalam skandal.

Pemimpin pembangkang dengan cepat mengecam parti pemerintah kerana menyokong calon-calon itu secara rahsia.

Ketua Komeito Keiichi Ishii yang hanya memegang jawatannya hanya sebulan lalu kehilangan kerusinya, menandakan kekalahan pertama bagi seorang pemimpin Komeito sejak 2009. Parti itu yang disokong oleh pertubuhan Soka Gakkai berfahaman Buddha, melihat jumlah kerusinya merosot daripada 32 kepada sekitar 22.

Selain itu, Menteri Pertanian Yasuhiro Ozato dan Menteri Kehakiman Hideki Makihara turut kehilangan kerusi mereka kepada calon pembangkang.

Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) meraih keuntungan besar dengan memperoleh lebih daripada 140 kerusi, meningkat daripada 98.

"Pengundi memutuskan parti mana yang terbaik untuk memperjuangkan pembaharuan, dan kami mendapat sokongan kerana itu," kata Ketua CDPJ Yoshihiko Noda.

Pemerhati berpendapat LDP mungkin akan menerima semula ahli-ahli yang dinafikan sokongan akibat isu pelaporan pendapatan.

Namun, bekas menteri pendidikan yang terkenal Hakubun Shimomura dan kira-kira separuh daripada 10 calon yang dinafikan sokongan kehilangan kerusi mereka.

Semua calon yang terpaksa bertanding secara bebas mempunyai hubungan yang kuat dengan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe, yang masih mempengaruhi LDP walaupun telah meletak jawatan pada 2020.

Gabungan parti pemerintah mungkin mempertimbangkan untuk mendapatkan sokongan daripada Parti Demokratik Rakyat, yang menambah kerusi mereka daripada tujuh kepada lebih 30. Bagaimanapun, pemimpinnya, Yuichiro Tamaki menolak untuk menyertai gabungan berkenaan. Parti Inovasi Jepun juga ragu-ragu untuk bekerjasama.

Peratusan keluar mengundi dianggarkan pada 53.81 peratus, sedikit lebih rendah daripada pilihan raya 2021, dan mungkin yang ketiga terendah dalam sejarah pasca perang. Rekod 55 ahli parlimen wanita dipilih dalam pilihan raya kali ini.

Dalam pilihan raya ini, setiap pengundi mengundi dua kali -- sekali untuk calon di kawasan berkerusi tunggal dan sekali lagi untuk parti dalam perwakilan berdasarkan peratusan mengundi. Keputusan akhir dijangka diumumkan pada awal Isnin.

Keputusan itu menjadi cabaran besar buat Ishiba, yang berhasrat membina semula LDP menjelang pilihan raya Dewan Kaunselor musim panas depan.

Penganalisis percaya keputusan itu menyebabkan Ishiba tidak mungkin mencapai matlamat utamanya untuk mencadangkan pembaharuan perlembagaan di parlimen, yang memerlukan majoriti dua pertiga sebelum dibawa ke referendum nasional. - Bernama-Kyodo

_______________________________________________________________________

PM Jepun sedia bentuk pakatan selepas blok pemerintah hilang majoriti

TOKYO - Gabungan parti pemerintah Jepun kehilangan majoritinya di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya umum pada Ahad, memberi tamparan hebat kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba yang kini perlu mencari sokongan tambahan di luar blok pemerintah untuk mentadbir kerajaan yang stabil.

Bagaimanapun, Ishiba menyatakan kesediaan untuk membentuk kerajaan baharu yang dipimpin oleh partinya, lapor Agensi Berita Kyodo.

Parti pembangkang yang terdiri daripada kedua-kedua kumpulan liberal dan berhaluan kanan, turut dijangka menghadapi kesukaran untuk bekerjasama dalam membentuk gabungan berikutan perbezaan matlamat dasar mereka.

Keputusan buruk itu menonjolkan ketidakpercayaan yang semakin meningkat terhadap Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah didorong oleh skandal dana politik, menandakan perubahan sokongan sejak ia kembali berkuasa pada 2012 selepas menjadi pembangkang.

Gabungan pemerintah memperoleh 215 daripada 465 kerusi dalam dewan, turun mendadak daripada 288, gagal mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya mengekalkan majoriti.

Blok itu masih akan gagal mencapai majoriti di Dewan Rakyat yang berkuasa jika Ishiba menerima semula bekas ahli parlimen yang bertanding sebagai calon bebas selepas dinafikan sokongan parti berhubung skandal tersebut.

Parti pembangkang utama Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) yang tampil sebagai alternatif kepada parti pemerintah mencatatkan peningkatan ketara dalam kerusi mereka.

CDPJ memperoleh 148 kerusi, meningkat mendadak daripada 98.

Prospek selepas pilihan raya masih tidak menentu, dengan beberapa parti pembangkang utama yang meraih kemenangan besar menolak kemungkinan menyertai kerajaan dengan blok pemerintah.

Keputusan pilihan raya Dewan Rakyat ini akan menjadi cabaran besar bagi Ishiba dalam usaha membina semula LDP sebelum pilihan raya Dewan Kaunselor musim panas depan. - Bernama-Kyodo