Persandingan Tengku Muhammad, Tengku Natasya Puteri penuh istiadat

Iklan
Al-Sultan Abdullah menjalankan upacara meletak Pancabicara di atas kepala pasangan pengantin. Foto Kesultanan Pahang

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Istiadat persandingan diraja Putera Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan berlangsung dengan penuh tradisi di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini, pada malam Ahad.

Istiadat itu disaksikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menggayakan persalinan berwarna kelabu.

Iklan
Iklan

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka-paduka adinda serta kerabat bergelar.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah (tiga dari kanan) bersama Tengku Azizah (dua kanan) dan Al-Sultan Abdullah hadir menyaksikan istiadat persandingan Tengku Muhammad dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri berlangsung dengan penuh tradisi di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di Kuantan, pada malam Ahad. Foto Kesultanan Pahang

Seramai 16 orang Jejawat Lilin masuk ke Balai Mahkota sebelu Tengku Natasya Puteri yang tampil anggun dalam busana berona putih dengan kilauan hiasan dibawa tepat jam 8.40 malam.

Iklan

Tengku Muhammad kemudian dibawa masuk ke Balai Mahkota bersama Sirih Lat-Lat yang kemudiannya diserahkan kepada Tengku Natasya Puteri sebagai tanda Istiadat Bersanding bermula.

Seterusnya, Al-Sultan Abdullah berkenan memulakan istiadat merenjis pasangan pengantin diikuti Sultanah Nur Zahirah serta Tengku Hassanal Ibrahim.

Iklan
Istiadat persandingan diraja Tengku Muhammad dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri berlangsung dengan penuh tradisi. Foto Kesultanan Pahang

Acara merenjis pasangan pengantin dimulakan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta isteri, Datin Seri Burhah Mohammed diikuti Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dr Meriam Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah serta pembantu Paduka Baginda, Datuk Anna Gibbon.

Istiadat Persandingan diakhiri dengan upacara meletak Pancabicara atau peralatan istiadat yang digunakan dalam istiadat perkahwinan serta istiadat-istiadat Diraja yang lain oleh Al-Sultan Abdullah di atas kepala pasangan pengantin.

Tengku Muhammad dan pasangannya, Tengku Natasya Puteri berjalan menuju ke pelamin bagi istiadat persandingan. Foto Kesultanan Pahang

Sebagai keberkatan istiadat persandingan Mufti Pahang Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim membacakan doa sebelum pasangan Pengantin Diraja meninggalkan Balai Mahkota untuk sesi bergambar di Balai Panglima.

Pasangan Pengantin Diraja kemudiannya menuju ke Balai Bendahara bagi majlis memotong kek dan menikmati jamuan makan bersama semua jemputan yang hadir.