Muruku laris menjelang deepavali

Iklan
Peniaga A Justin dilihat sibuk menyusun balang muruku untuk dijual kepada pelanggan sebagai persiapan akhir untuk menyambut perayaan Deepavali di Jalan Yam Tuan atau lebih dikenali dengan gelaran Little India Seremban. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menjelang sambutan Pesta Cahaya, muruku, juadah tradisional ikonik masyarakat India, menjadi antara snek ruji di kebanyakan kediaman penganut agama Hindu di seluruh negara ini.

Lantaran itu, tidak menghairankan jika penjual snek tradisional India memanfaatkan sepenuhnya kedatangan Deepavali bagi meraih pendapatan tambahan, antaranya ialah G Jeyacanth, 46.

Iklan
Iklan

Menurut generasi ketiga pemilik kedai snek India Selera Snacks, di Petaling Jaya, Selangor ini, mereka menghasilkan lebih 5,000 keping muruku setiap hari yang merupakan bukan perkara mudah.

"Kami beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 10 malam dan kami menyediakan muruku menggunakan kaedah tradisional dengan tangan. Saya terpaksa menyusun penggiliran pekerja bagi memenuhi permintaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedainya baru-baru ini.

Iklan

"Muruku saya hanya boleh disimpan paling lama 15 hari,” ujar beliau.

Selera Snack yang beroperasi sejak lebih 30 tahun lalu, menawarkan muruku dan biskut dalam lebih 20 perisa.

Iklan

Ketika musim perayaan, kedainya mampu menjual hingga 1,500 bekas muruku dengan setiap satu mengandungi 95 ke 100 keping snek itu.

Sementara itu, V Sumathi, 50, yang mengusahakan Vannavil Home-made Cookies di Johor Bahru, Johor, meluahkan rasa gembira berikutan jualan yang laris pada tahun ini.

"Setakat ini kita berjaya jual lebih 1,000 balang muruku dan kedatangan pelanggan begitu ramai pada hujung minggu ini kerana Deepavali cuma tinggal beberapa hari sahaja lagi,” katanya dalam temu bual secara dalam talian.

Mengambil inspirasi daripada ibunya apabila menceburkan diri dalam bidang perniagaan, Sumathi hanya dapat menjual 20 balang muruku di peringkat awal perniagaannya. Kini, beliau menawarkan lebih 60 jenis biskut dan lapan perisa muruku, memenuhi kehendak pelanggan yang merentasi kaum.

N Pusparani, 58, yang berpangkalan di rumahnya di Ipoh, Perak, berkongsi rasa cintanya yang mendalam terhadap snek dan halwa kaum India.

"Saya mula menjual muruku kerana saya sukakan kaitannya dengan budaya dalam masyarakat Hindu, dan muruku juga digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya.

Semasa musim perayaan, Pusparani menyasarkan jualan sebanyak 300 balang muruku dan menerima tempahan dari Johor, Melaka dan Pulau Pinang selain Perak.

Di Melaka, A Kasthury, 35, yang juga berpangkalan di rumah berkata, beliau gembira dapat membantu meringankan beban keluarga menerusi jualan murukunya.

"Di peringkat awal saya bermula dengan hanya 10 balang, dan tahun ini, saya menerima pesanan sebanyak 25 balang,” katanya, menambah pelanggannya terpikat dengan kelembutan muruku beliau selain harga berpatutan. - Bernama