SHAH ALAM - Kerajaan diminta mengambil langkah tegas bagi memastikan tindakan ‘meminta maaf’ yang kini dilihat sebagai alat gurauan sesetengah pihak semata-mata ingin menyelamatkan diri tidak berulang lagi.
Naib Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Khairul Walid Mohamed berkata, sikap yang dipamerkan pihak tidak bertanggungjawab itu perlu ditangani segera supaya tidak meracuni pemikiran dan memudarkan semangat patriotisme generasi muda di negara ini.
Menurut beliau, pelbagai insiden memalukan yang berlaku ketika ini sehinggakan rakyat berbalah sesama sendiri, namun pihak terbabit hanya meminta maaf tanpa dikenakan sebarang tindakan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang sedia ada.
"Adakah semudah itu (meminta maaf) setelah menggores hati rakyat Malaysia.
Lihat sahaja baru-baru ini, kejadian yang menimbulkan rasa tidak puas hati majoriti rakyat di Menara Condong, Teluk Intan, Perak.
Sebelum itu, di sebuah sekolah di Pulau Pinang.
"Tepuk dada tanya diri, adakah tidak terdetik rasa sakit dalam hati apabila bendera negara China dikibarkan sesuka hati di tanah air kita walhal tidak mempunyai asbab untuk dikibarkan di negara ini.
"Peganglah pepatah ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ dan sebagai rakyat Malaysia, sudah pasti kita wajib mendahulukan nilai-nilai dan budaya seiring konsep Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan peserta rombongan dari China yang menyertai perarakan sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia berarak sambil mengibar bendera China di pekarangan Menara Condong.
Rentetan daripada itu, penganjur sambutan merangkap Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua tampil memohon maaf.
Katanya, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.
Khairul Walid yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Gerakan Belia 4B Malaysia berpandangan, tiada keperluan untuk berbuat demikian seolah-olah mahu mengagungkan negara tersebut.
Tambahnya, apabila bercakap soal kedaulatan negara, masih ada golongan mengeluarkan kenyataan dangkal atau membuat persamaan dengan tindakan mengibarkan bendera Palestin umpama menegakkan benang yang basah.
"Kibarnya bendera Palestin dilakukan kerana satu dunia mengetahui kekejaman, penindasan dan pembunuhan sesuka hati dibuat tentera Zionis ke atas rakyat Palestin.
"Penjajah Israel sudah terang-terangan melakukan jenayah perang, malah mendapat tentangan dan bantahan pelbagai negara di dunia termasuk yang disuarakan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Maka sudah pastinya ia perkara berbeza mengenai keprihatinan ke atas mangsa jenayah perang dan kedaulatan Malaysia,” ujarnya.