Seorang ditahan, tiga lagi ahli 'Geng Baim' diburu

Iklan
Mohd Khairi (kanan) menunjukkan gambar suspek yang diburu dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi di sekitar Dungun

KUALA TERENGGANU - Polis berjaya menahan seorang buruh manakala sedang giat memburu tiga suspek lelaki tempatan dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi di sekitar Dungun.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kesemua suspek yang dikenali sebagai 'Geng Baim' itu dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti mencuri kabel sejak April tahun ini.

Iklan
Iklan

"Ketiga-tiga suspek itu diburu susulan kejadian kira-kira jam 5.40 pagi pada 25 Oktober lepas semasa sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dibantu sepasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman mengesan sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton dalam keadaan mencurigakan di Jalan Durian Mentangau-Citrus Dungun.

Ketiga-tiga suspek 'Geng Baim' diburu dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri kabel milik syarikat telekomunikasi di sekitar Dungun

"Ketika itu kelihatan but belakang kereta tersebut terdapat objek hitam disyaki keratan potongan kabel. Namun setelah menyedari kehadiran kenderaan polis, mereka telah memecut laju dan masuk ke lorong hutan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pekarangan IPK Terengganu di sini pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, keempat-empat suspek terbabit telah bertindak keluar melarikan diri ke dalam hutan berhampiran selepas memberhentikan kereta secara mengejut.

"Bagaimanapun polis berjaya menahan salah seorang suspek yang bekerja sebagai buruh berusia 42 tahun namun tiga lagi meloloskan diri.

Iklan

"Suspek yang ditahan didapati mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah manakala hasil ujian saringan turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, suspek yang ditahan itu telah direman selama empat hari bermula 26 Oktober lepas.

"Kita masih giat memburu tiga lagi ahli geng tersebut iaitu Tuan Ibrahim Tuan Tuan Husin, 35, yang dipercayai ketua kumpulan tersebut, Mohamad Fakhruzee Radzee Mustaffa, 29 dan Muhamad Shafiq Ezzad Mazalan, 35.

"Kesemua suspek merupakan penganggur dan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Jadi kita meminta bantuan orang ramai yang mengenali serta mempunyai sebarang maklumat mengenai ketiga suspek tersebut untuk melaporkan kepada pihak polis," ujarnya.