Deepavali: 2.62 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya mulai esok

Iklan
Aliran trafik dijangka meningkat mulai esok dengan jangkaan 2.62 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Aliran trafik dijangka meningkat mulai esok dengan jangkaan 2.62 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama menuju pantai timur, utara dan selatan Khamis ini, susulan sambutan Deepavali.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya (LLM), Datuk Sazali Harun berkata, 2.13 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah kumpulan PLUS, 198,000 (Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak), 78,220 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1), 59,220 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2) dan 153,700 menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).

Iklan
Iklan

"Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM telah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya selamat dan lancar sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian tol percuma di semua lebuh raya selama dua hari bermula 12.01 tengah malam esok hingga 11.59 malam, 30 Okt (Rabu) sempena Deepavali.

Iklan

Untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Sazali berkata, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi 7 pagi hingga 10 malam dan pengguna boleh mendapatkan status semasa trafik lebuh raya atau sebarang insiden di lebuh raya menerusi media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 atau paparan kamera liter tertutup (CCTV) di https://www.llm.gov.my.

Sazali berkata, pihaknya turut mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya agar tidak melaksanakan sebarang penutupan lorong kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula Khamis ini hingga Isnin, memastikan pengoperasian lebuh raya serta kawasan rehat dan rawat (R&R) dalam keadaan baik dan menyediakan kemudahan tambahan seperti tempat letak kereta serta tandas mudah alih.

Iklan

Beliau turut menasihati pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA, memastikan baki kad Touch 'n Go dan e-dompet mencukupi serta mengingatkan penunggang motosikal bahawa lorong kecemasan bukan laluan eksklusif untuk mereka tetapi turut digunakan oleh kenderaan yang berhenti jika berlaku kerosakan atau kecemasan lain. - Bernama