SEREMBAN - Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tiga pertuduhan menyamar sebagai peguam berkelayakan dengan menipu mangsa di Kompleks Mahkamah Seremban sejak 2021.
Tertuduh, Muhammad Syafiq Stewart Abdullah, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Muhammad Syafiq Stewart didakwa telah menyatakan bahawa dirinya adalah seorang peguam bela dan peguam cara yang berkelayakan dengan menipu dua mangsa.
Kesalahan itu dilakukan pada 18 November 2021 dan 2 Mac 2022 di Kompleks Mahkamah Seremban.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 419 kanun yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Asroff Kamarul menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam, Ahmad Zahid Abu Hashim memohon jaminan yang minimum atas alasan anak guamnya menghidap darah tinggi dan menanggung isteri serta dua anak yang masih kecil.
"Tertuduh sudah tidak bekerja sejak 2023 dan untuk menyara keluarga, dia memberi kuliah agama di masjid dan surau tertentu atas jemputan dengan menerima bayaran RM100 hingga RM200 bagi setiap sesi.
"Isteri tertuduh baharu sahaja bekerja sebagai eksekutif undang-undang dengan pendapatan RM3,000 sebulan," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Disember depan.
Media pada 15 Oktober 2021 melaporkan, Muhammad Syafiq Stewart pernah menjadi peguam kepada bekas Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Negeri Sembilan atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan nota penerimaan bekalan dan perkhidmatan bagi jabatan itu.
Pada 7 Jun 2023, media turut melaporkan Muhammad Syafiq Stewart mewakili tertuduh seorang bekas pengawal keselamatan atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah empat tahun lalu.