Along tidak mengaku beri pinjaman wang secara haram

Iklan
Chuan Yau dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas mengaku tidak bersalah memberi pinjaman wang tanpa lesen.

IPOH - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen, minggu lalu.

Tertuduh, Ting Chuan Yau, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Siti Nora Sharif.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen yang sah di hadapan sebuah restoran di Persiaran Perpaduan Utara 1, Taman Bercham Raya di sini sekitar jam 10.45 pagi pada 21 Oktober lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM200,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh diwakili peguam, S Teeban Kummar.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin sebanyak RM7,000 namun Teeban Kummar memohon jaminan diberi pada kadar minimun atas alasan anak guamnya tidak melakukan kesalahan yang serius.

Iklan

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan semula kes.