SELEPAS melalui episod hitam mahligai perkahwinan bersama aktres popular dan usahawan tudung Nur Fazura berakhir, kelibat anak kelahiran Setiawangsa, Kuala Lumpur ini semakin menjadi tumpuan peminat dunia seni tanah air, khususnya wanita.
Diberi julukan 'Duda Hot' oleh netizen, segala pergerakan dan aktiviti Fattah Amin, 34, diikut rapat dengan kemunculan pertama kalinya di TikTok pada pertengahan bulan ini turut mencetuskan fenomena, apabila meraih 100,000 tontonan dan memperoleh 44 juta tanda suka (likes) sepanjang tiga jam bersiaran.
Bagaimanapun, penampilan terkini aktor kacak tinggi lampai ini mencetuskan kebimbangan peminatnya apabila dilihat mengalami penurunan berat badan.
Menafikan kehilangan berat badan itu ada kaitan dengan episod duka yang dilaluinya, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd Amin ini berkata keadaan tersebut mungkin disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak menentu dek kepadatan jadual kerja.
Biarpun begitu, pelakon filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini bersyukur kerana rezekinya semakin bertambah, memenuhi jadual kerja hingga Februari depan.
"Tapi tidak banyak pun... dalam dua ke tiga kilogram, mungkin sebab sibuk kerja, makan pun tak teratur sangat," katanya yang segak memakai tuksedo hitam bermotif abstrak ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024, Sabtu lepas.
Mengelak untuk menjadi tamak, hero bintang filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah ini berkata, tidak semua tawaran diterimanya kerana ada beberapa perkara yang dititikberatkan oleh beliau sebelum menerima pekerjaan yang ditawarkan, termasuk tidak mempromosikan produk hampir sama.
"Bukan semua (tawaran) saya terima. Saya akan lihat dan teliti dahulu dari segi jenama, latar belakang produk dan komitmen yang diminta, serta cuba elakkan produk yang lebih kurang sama kerana tidak mahu ada masalah timbul, kelak.
"Pihak pengurusan juga membantu dan sangat selektif tentang pemilihan produk sebelum bersetuju menerima mana-mana tawaran,” katanya.
Dalam pada itu, lepasan Universiti Utara Malaysia ini turut melahirkan rasa gembiranya dan bersyukur apabila dapat meluangkan masa bersama-sama puteri kesayangannya, Nur Fatima baru-baru ini.
"Dia (Fatima) gembira dapat jumpa daddy. Saya bawa dia jalan-jalan dan belikan mainan. Bawa dia jumpa dengan ahli keluarga yang lain. Alhamdulillah, terubat kerinduan itu," katanya yang memuat naik pertemuan tersebut di media sosial miliknya.
Pada masa sama, pelakon Gerak Khas ini turut menzahirkan rasa terharu atas sokongan luar biasa peminatnya.
"Bila sentiasa bercakap perkara positif, diri sendiri juga menerima kesannya. Bila doakan yang baik-baik terhadap orang, insya-ALLAH, saya juga akan dapat ganjarannya,” kata beliau.
Fattah dan Nur Fazura sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober lepas, setelah tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan. - Bernama