Rezeki naikkan ikan baji, Muhammad Mutawalli bawa pulang RM20,000

Iklan
Izham (tiga dari kanan) bergambar bersama pemenang pertandingan.

SHAH ALAM - Ikan baji seberat 1.09 kilogram (kg) membawa tuah kepada Muhammad Mutawalli Mohd Adnan apabila dinobatkan juara Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Tanjung Harapan pada Ahad.

Kemenangan itu sekali gus menewaskan Zamiruddin Mohd Yusof yang mendaratkan ikan sembilang seberat 0.78kg disusuli Salehuddin Mohd Noor dengan ikan baji seberat 0.74kg.

Iklan
Iklan

Muhammad Mutawalli membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian dan Perladangan, Keterjaminan Makanan dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim.

Lebih menggembirakan Muhammad Mutawalli turut menerima wang tambahan sebanyak RM3,000 kerana merupakan penduduk di Selangor.

Iklan
Izham (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bonanza televisyen 50 inci kepada pemenang.

"Saya tidak menyangka ikan baji yang saya naikkan pada jam 8.45 pagi mampu bertahan pada kedudukan juara sehingga pertandingan tamat.

"Berbekal umpan ulat perumpun, saya memburu spesis bersisik seperti senangin, tetapi baji yang memakan umpan. Alhamdulillah, ini rezeki terbaik saya tahun ini,’’ katanya baru-baru ini.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dzulkarnain Othman dan Penyelaras Parlimen Kapar, Datuk Seri Aziz Ayob.

Dalam pada itu, Zamiruddin yang menduduki tempat kedua membawa pulang RM4,000 dan tambahan RM2,000 sebagai hadiah khas penduduk Selangor.

Salehuddin pula hanya mampu berpuas hati menerima RM2,000 sebagai pemenang tempat ketiga.

Sementara itu, Izham berkata, kejayaan itu akan mendorong kerajaan negeri untuk meneruskan acara tersebut di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada 8 Disember 2024.

Menurutnya, pertandingan anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu, mendapat sambutan menggalakkan.

"Kita akan menyediakan hadiah lebih lumayan bagi menarik lebih banyak penyertaan,’’ katanya.