Lebih 1.8 juta rakyat terima manfaat program Jualan Rahmah

Iklan
Kamalludin (dua dari kanan) diiringi Pengurus Kanan Operasi GMS Utara 2, Tan Yee Lean menunjukkan antara barangan yang disenaraikan semasa SHMMP di premisnya di Ipoh.

IPOH - Lebih 1.86 juta rakyat Perak menerima manfaat menerusi program Jualan Rahmah yang dilaksanakan di 1,202 program dalam tempoh dua tahun bermula 2023.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 36 peratus melibatkan jualan barangan keseluruhan sebanyak RM64.18 juta.

Iklan
Iklan

"Tahun 2023 kita melaksanakan 508 program dengan 800,754 masyarakat menerima manfat membabitkan nilai jualan barangan sebanyak RM19.95 juta.

Kamalludin

"Sebanyak 694 program dilaksanakan dengan 1,065,765 orang menerima manfaat melibatkan jualan sebanyak RM44.23 juta bagi tahun 2024 hingga hari ini," katanya dalam sidang akhbar pada sesi walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di sini pada Isnin.

Iklan

Menurutnya, sebanyak 35 program Jualan Rahmah akan dilaksanakan sempena musim perayaan Deepavali bermula Sabtu hingga Rabu ini melibatkan lokasi antaranya di Pasir Pinji, Keranji dan Simpang Pulai.

Pada masa sama, Kamalludin berkata, seramai 169 penguat kuasa dan 70 pegawai pemantau harga akan digerakkan bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan SHMMP Deepavali bermula Isnin hingga 3 November depan.

Iklan

"Lapan jenis barangan ditetapkan harga maksimum antaranya daging kambing biri-biri bertulang import, bawang merah, kacang dal, kelapa parut dan biji, tomato serta cili merah.

"Pemeriksaan berterusan dilaksanakan di lokasi-lokasi strategik antaranya pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan," katanya.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).