Kerja baik pulih rumah usang Mazelan akan dilakukan segera

Iklan
Rais (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mazelan ketika berkunjung ke rumah pesara itu di Bukit Rambai pada Ahad.

MELAKA – Kerja-kerja membaik pulih rumah pesara tentera yang usang di Kampung Paya Mengkuang 2, Bukit Rambai, di sini, akan dilakukan segera bagi memberi keselesaan kepada keluarga itu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, peruntukan yang disalurkan bagi membantu keluarga berkenaan sebagai tanda keperihatinan kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah memaklumkan KKDW meluluskan peruntukan untuk baik pulih rumah berkenaan.

Rais melihat keadaan rumah Mazelan di Kampung Paya Mengkuang 2, Bukit Rambai, di sini, pada Ahad.

Malah katanya, turut diberitahu lantikan kontraktor akan dibuat minggu depan sebelum kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan dalam masa tidak lebih dua bulan.

Iklan

"Isu ini memang dalam pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

"Saya berharap kerja-kerja baik pulih ini dapat diselesaikan hujung tahun ini atau awal tahun depan menggunakan peruntukan yang difahamkan berjumlah RM20,000.

Iklan

"Malah wakil rakyat itu juga pernah menziarahi dan membantu dapatkan peruntukan sebelum kerja baik pulih ini diluluskan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Rais yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu berkata, pihaknya yakin Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Mara tidak akan membiarkan masalah itu berlarutan.

Sementara itu, pesara tentera berkenaan, Mazelan Harun, 67, berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantunya mencari kos baik pulih rumah pusaka keluarganya itu yang dikesan semakin teruk dimakan anai-anai sejak enam bulan lalu.

"Terima kasih kepada Mara, kerajaan negeri, LPM dan badan bukan kerajaan (NGO) serta semua pihak yang prihatin terhadap masalah saya sekeluarga,” katanya.

Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan sebuah keluarga di Kampung Tengah, Bukit Rambai bukan sahaja terpaksa menadah besen setiap kali hujan, malah hidup dalam kegusaran disebabkan bumbung rumah mereka hanya menunggu masa untuk runtuh.

Mazelan, berkata, hampir keseluruhan struktur bumbung rumahnya telah rosak dan keadaan bertambah buruk disebabkan hujan dan angin kuat sejak tiga bulan lalu.