Buruh mengaku salah rompak gelang emas guna pencakar tanah

Iklan
Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu, pada Isnin atas pertuduhan merompak seutas gelang emas milik seorang wanita di Bachok dengan bersenjatakan besi pencakar tanah, dua minggu lepas. Gambar hiasan

KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin atas pertuduhan merompak seutas gelang emas milik seorang wanita di Bachok dengan bersenjatakan besi pencakar tanah, dua minggu lepas.

Tertuduh Raiznan Shah Ruzmi, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan seutas gelang emas milik Farha Yaacob, 51, dengan menggunakan senjata maut iaitu sebatang besi pencakar tanah di sebuah rumah di Kampung Mahligai Melor, Bachok pada 6.15 pagi, 10 Oktober lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli memohon mahkamah agar tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kes itu adalah serius.

Zulkifli menetapkan 19 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam dan mengarahkan tertuduh ditahan reman. - Bernama

Iklan