Bangunan Parlimen antara terawal di dunia guna solar

Iklan
Johari (kanan) ketika meninjau panel solar yang dipasang di bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR - Bangunan Parlimen Malaysia merupakan antara yang terawal di dunia menggunakan tenaga solar dalam operasinya.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, inisiatif tersebut sudah bermula pada awal bulan ini dengan kerjasama beberapa kementerian.

Iklan
Iklan

"Saya juga nak umumkan bahawa mulai 1 Oktober lalu, Parlimen menggunakan sumber tenaga solar.

"Jadi kita antara Parlimen terawal di dunia yang menggunakan sistem ini. Terima kasih kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Kementerian Kewangan atas inisiatif ini," katanya ketika mencelah sesi jawab lisan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Panel solar yamg dipasang pada bangunan Parlimen

Iklan

Projek Sistem Fotovolta Suria bagi menyokong dasar berkaitan Tenaga Boleh Diperbaharui itu mengoptimumkan penggunaan tenaga solar dengan kapasiti 1.5 mega watt peak (MWp) sebagai inisiatif peralihan kepada sumber tenaga lebih lestari.

Terdahulu Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan, kerajaan menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menggalakkan pemaju perumahan memasang panel solar pada bumbung dalam projek perumahan baharu.

Iklan

Setakat ini menurutnya, Sime Darby Property Bhd telah mengambil inisiatif melaksanakan projek rintis solar bumbung dalam pembangunan hartanah syarikat tersebut.

Justeru beliau berkata, kerajaan kini sedang dalam rangka mewujudkan dasar solar negara bermula dengan pemasangan panel solar di atas bumbung menerusi projek perumahan yang sedang dibangunkan Sime Darby Property Bhd.

"Pemilik nanti akan mendapat sewaan dan diuruskan oleh syarikat perumahan itu sendiri, ini antara pendekatan kita untuk meletakkan solar di bumbung

"Akhirnya ia akan bekalkan kepada grid dan hasilan itu akan dikongsi termasuk membiayai kepada pemilik-pemilik rumah," jelasnya.