SUNGAI PETANI - Ibu kepada Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, yang dikhuatiri lemas di pusat pendaratan ikan Pasar Bisik, Kota Kuala Muda di sini pada Ahad berharap anaknya dapat pulang ke pangkuan dalam keadaan selamat.
Rosnah Razali, 48, dari Kampung Teluk Wang di sini mengharapkan keajaiban itu selepas anaknya dikatakan keluar dari rumah dipercayai untuk membeli ikan buatnya.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu mangsa kali terakhir dilihat berada di pesisir pantai Pasar Bisik untuk menunggu bot nelayan yang baharu tiba membawa muatan ikan sebelum dilaporkan hilang dari pandangan orang ramai dipercayai dibawa arus deras.
"Sebelum kejadian, saya bercakap dengan dia melalui telefon pada jam 11.30 pagi, dia beritahu ikan belum ada lagi...sat (sekejap) lagi dia beli.
"Dia pertama kali mai (datang) sini... sebelum keluar rumah okay sahaja, senyum dan berjanji nak bawa balik ikan," katanya.
Rosnah bagaimanapun terkejut apabila dimaklumkan bahawa anak sulung daripada tiga beradik itu terjatuh ke muara sungai kira-kira setengah jam kemudian.
Lebih memilukan, anak disifatkan ringan tulang itu, kini sedang membuat persiapan akhir majlis perkahwinannya yang bakal berlansung tiga bulan lagi.
"Dia seorang yang baik, tidak pernah melawan, semua orang sayang, dia suka tolong orang, memang dia baik sangat," luahnya.
Sementara itu, tunang Muhamad Aiman, Nur Farhana Abd Syukur, 23, mengharapkan agar operasi pencarian yang disertai beberapa pasukan penyelamat sejak Ahad, berjalan lancar.
Dia berkata, pada hari kejadian, mereka sepatutnya memenuhi janji temu di Klinik Kesihatan Taman Intan untuk menjalani saringan HIV sebagai prosedur sebelum perkahwinan.
"Last (kali terakhir) mesej Whatsapp dengan dia pada jam 11.30 pagi. Aiman beritahu jadi nak buat saringan HIV dan saya bersiap untuk ke sana.
"Bagaimanapun, dalam pukul 1 tengah hari, mak dia telefon beritahu (Muhamad Aiman) jatuh laut...saya terus bergegas ke lokasi," katanya.
Nur Farhana dan Rosnah serta ahli keluarga lain setia menunggu di pesisir pantai Pasar Bisik bagi mengetahui perkembangan operasi mencari dan menyelamat sejak hari kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syukri Hashim berkata, operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada hari kedua pada Isnin.
Menurutnya, aspek keselamatan diberi keutamaan sepanjang operasi melihat kepada keadaan cuaca tidak menentu, hujan lebat dan laut bergelora serta berombak di sekitar lokasi kejadian.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas membeli ikan di Pasar Bisik Kota Kuala Muda dalam kejadian kira-kira 12.25 tengah hari Ahad.