KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) dijangka dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, kelewatan pembentangan rang undang-undang berkenaan kerana terdapat permohonan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang meminta agar ia melalui proses Analisis Impak Peraturan (RIA) sebelum ini.
"MPC sebelum ni mohon supaya rang undang-undang ini melalui proses RIA, tapi setelah kita tegaskan ada pasukan jawatankuasa yang bantu lakukan perbincangan awal dan maklum balas untuk bentuk peraturan, akhirnya mereka setuju.
"Saya percaya dalam minggu-minggu akan datang ini kita akan bentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen....insya-ALLAH,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan bantuan Tabung Kasih@Hawana kepada dua veteran media beragama Hindu sempena sambutan Deepavali, di Batu Caves, dekat sini hari ini.
Fahmi menziarahi bekas wartawan Tamil Malar R Saraspathy dan bekas pembaca pruf Tamil Nesan, S Batemaly di kediaman masing-masing dan program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.
Sebelum ini, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan, Kementerian Komunikasi sudah mengemukakan draf rang undang-undang MMM kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan akhir.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian yang juga akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat membolehkan semua kandungan tidak patuh undang-undang diturunkan.
Beliau berkata, menerusi undang-undang baharu itu, ia menggariskan peranan kurator yang bertanggungjawab untuk memastikan kandungan tidak mematuhi peraturan tiada di platform masing-masing.
"Ini bermaksud mereka (kurator) platform sosial media ini perlu lebih proaktif, memberi penegasan kepada platform media sosial supaya mereka tidak (hanya bertindak) atas aduan atau pelaporan pengguna sahaja," katanya.
Fahmi sebelum ini berkata, Rang Undang-Undang berkenaan akan dibawa ke sidang Parlimen kali ini dan dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada awal Disember.
Menurutnya, langkah membawa Rang Undang-Undang berkenaan ke Parlimen dalam masa terdekat adalah untuk melihat isu keselamatan dalam talian secara lebih menyeluruh dapat ditangani, khususnya melibatkan empat aktiviti jenayah utama seperti scam atau penipuan, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.