Peniaga pasar malam perlu lebih kreatif, ikut trend

Iklan
Sinar Ahad melaporkan perniagaan pasar malam semakin malap apabila trend jualan dalam talian dikatakan ‘membunuh’ kemeriahan pasar malam di negara ini khususnya peniaga pakaian, aksesori dan kosmetik kerana ia didakwa lebih mudah, murah serta banyak pilihan.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mahu peniaga pasar malam di negeri ini tampil lebih kreatif serta mengikut trend terkini bagi menarik pelanggan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, mereka boleh menggunakan kemudahan teknologi dengan membuat lintas langsung di media sosial bagi mempromosikan barangan yang dijual sekali gus menarik perhatian orang ramai untuk berkunjung ke pasar malam.

Iklan
Iklan

"Jangan sekadar duduk menunggu pelanggan datang. Guna media sosial untuk buat 'live' promosi produk.

"Perniagaan ini satu seni. Saya lihat beberapa pasar malam yang mempunyai tema atau konsep seperti pasar pahlawan mendapat perhatian orang ramai, kreativiti seperti ini harus diterapkan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, pada masa sama, peniaga perlu berani tampil mengikut trend seperti mencipta konsep atau tema bagi menarik minat orang ramai hadir ke pasar malam.

Ujarnya, pasar malam dilihat mulai suram selepas negara diserang pandemik Covid-19 apabila dua tahun rakyat tinggal di rumah dan membuat belian di atas talian.

Iklan

Hilmi memberitahu, kesannya ialah ia sudah menjadi amalan mereka selain daripada faktor kenaikan kos barangan serta cuaca yang sering tidak mementu sehingga ramai memilih untuk tidak keluar.

Sinar Ahad melaporkan perniagaan pasar malam semakin malap apabila trend jualan dalam talian dikatakan ‘membunuh’ kemeriahan pasar malam di negara ini khususnya peniaga pakaian, aksesori dan kosmetik kerana ia didakwa lebih mudah, murah serta banyak pilihan.

Jumlah peniaga pasar malam juga dilapor berkurangan dan kebanyakan masih bertahan adalah peniaga makanan yang turut berdepan tekanan kos harga bahan mentah semakin meningkat.

Operasi perniagaan pasar malam seluruh negara dijangka lumpuh dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang sekiranya tiada mekanisme yang adil daripada kerajaan untuk memastikan perniagaan dalam talian tidak terus menggugat mata pencarian penjaja dan peniaga kecil.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (G3PM), Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, meskipun pihaknya menggalakkan golongan peniaga menerokai perniagaan secara dalam talian, realitinya ia bukan perkara mudah dan sesuai untuk semua golongan lebih-lebih lagi bagi peniaga makanan yang bergantung kepada jumlah kehadiran pengunjung secara fizikal.