KUALA LUMPUR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menyalahkan golongan kaya, seolah-olah golongan kaya merampas manfaat dan subsidi yang sepatutnya dinikmati golongan sederhana serta rendah.
Presidennya, Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan ini tidak ubah seperti menghasut emosi rakyat.
Beliau turut tidak bersetuju dengan Perdana Menteri yang didakwanya menuduh ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan mempertahankan golongan T15.
"Hakikatnya, kerajaan sehingga hari ini masih belum jelas mengenai pendapatan isi rumah yang layak dimasukkan dalam kategori T15.
"Wakil rakyat hanya menjalankan tanggungjawab untuk rakyat dengan menunjukkan kelemahan dalam dasar kerajaan dan tidak sepatutnya dilihat sebagai wira kepada golongan kaya, yang mana kenyataan ini juga dilihat sebagai menghasut emosi rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, beliau menyindir Perdana Menteri yang seakan-akan hilang arah dengan 'kumpulan T' yang diciptanya.
"Di satu pihak, kerajaan mengatakan belum ada definisi jelas untuk T15, tetapi ketika menuduh ahli Parlimen mempertahankan T15, disebut pula ada golongan T15 berpendapatan bulanan RM100,000 malah ada yang mencecah RM1 juta sebulan.
"Sekarang pula, dipertimbangkan untuk menambah T10. Nampaknya, berapa jumlah pendapatan golongan 'T' ditentukan mengikut kehendak Anwar (Perdana Menteri)," ujarnya.
Menurutnya, ketika membentangkan belanjawan, Perdana Menteri berkali-kali menyebut bahawa Kerajaan Madani tidak akan mengabaikan mana-mana rakyat, namun dalam kata-kata Anwar, beliau tetap menggolongkan rakyat kepada kategori kaya dan miskin dengan cara yang agak kasar.
"Dahulu hanya ada T20, sekarang ada T15, adakah selepas ini akan muncul pula T10 dan T5? Rakyat menyokong kerajaan yang adil dalam pengagihan kekayaan, tegas melawan rasuah dan memperjuangkan hak golongan bawah, bukan untuk mencetuskan kebencian antara golongan kaya dan miskin," ujarnya.
Dalam kenyataan sama, Dominic menegaskan, statistik dari Jabatan Perangkaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sistem pangkalan data utama sudah mengandungi pelbagai data mengenai pendapatan antara kaum.
"Perdana Menteri sepatutnya mengarahkan pegawai untuk meneliti data ini bagi mengenal pasti T15 dengan pantas, bukannya terus-menerus menuding jari kepada golongan kaya tanpa definisi yang jelas.
"Dasar tersebut tidak patut keterlaluan dalam 'menghasut kebencian terhadap golongan kaya' kerana ini boleh menimbulkan kebimbangan kepada pelabur asing serta golongan pendapatan sederhana yang terperangkap dalam situasi tidak tinggi dan tidak rendah," katanya.
Justeru, beliau berharap agar kerajaan, sebelum berjaya mengenal pasti definisi T15, berhenti daripada mengeluarkan kenyataan mengelirukan, sebaliknya membuktikan melalui tindakan bahawa kerajaan benar-benar berpegang kepada semangat 'TR' atau tolong rakyat, bermaksud membantu rakyat yang lebih praktikal.