Pengkelasan T15 berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih, lokasi

Iklan
Rafizi (tengah) ketika diremui pemberita selepas Sesi Libat Urus RMK13 di Banda Hilir, Melaka pada Isnin.

MELAKA - Kerajaan bakal muktamadkan kategori rakyat berpendapatan tinggi, T15 dalam tempoh sebulan selepas penilaian terperinci dilakukan berdasarkan sesebuah lokaliti dan bukannya terpakai pada angka pendapatan semata-mata.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pengkelasan klasifikasi itu akan membabitkan kira-kira 10 juta isi rumah yang mana ia ditentukan bersandarkan kepada pendapatan boleh belanja bersih dan juga perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) dalam sesebuah keluarga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, proses penilaian itu akan dibuat termasuk dengan melibatkan Kementerian Kewangan (MoF) untuk melihat data sedia ada dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan data-data yang lain.

"Beri kami masa dalam tempoh bulan ini untuk menilai prosesnya.

Iklan

"Selepas itu barulah kita akan serahkan kepada Kabinet untuk dapatkan persetujuan," katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Banda Hilir di sini pada Isnin.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan kerajaan masih belum memutuskan tahap pendapatan bagi kategori T15 bagi memastikan penyasaran subsidi adil kepada semua pihak.

Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kategori tersebut sedang dicerakin dengan lebih teliti agar penyasaran subsidi itu tidak memberi kesan negatif kepada 85 peratus rakyat.

Malah pada pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Anwar turut menyatakan beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15 sehingga menimbulkan pelbagai reaksi mengenai pengkelasan golongan T15 berkenaan.

Jelas Rafizi, penetapan kadar pengkelasan itu bukanlah menjadi satu garis panduan yang terpakai untuk satu negara dengan mengambil contoh golongan T15 di beberapa negeri di kawasan luar bandar dan kawasan bandar.

"Contoh kita ambil pendapatan RM15,000 ke atas untuk satu negara dan itulah yang berlaku ketidakadilan.

"Ini kerana nilai itu kalau di Kuala Lumpur ada yang kata dia miskin lagi, tapi kalau di Gua Musang memang kayalah, jadi penentuannya mengikut lokasi dan tidak akan jadi satu angka nasional," katanya lagi.