Alu-alukan perbincangan bersama, kesal tindakan pasang kain rentang

Iklan
Kain rentang yang dipasang di SK Mulong 1.

KOTA BHARU - Pemasangan kain rentang di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 1 di sini dengan paparan ayat sudah empat bulan ketiadaan guru besar dan penolong kanan (PK) di sekolah berkenaan mengejutkan banyak pihak.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Datuk Burhanuddin Ruslan berkata, tindakan itu disedari pihak sekolah awal pagi Isnin ketika mereka tiba di sekolah itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai ketiadaan guru besar dan penolong kanan pentadbiran di sekolah itu.

"Kami sedang dalam perbincangan untuk menyelesaikan perkara ini tetapi saya kesal dengan tindakan individu yang menggantung kain rentang tanpa sebarang perbincangan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Beliau memberitahu, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mungkin boleh membantu segera menyelesaikan perkara berkenaan.

"Pihak PIBG mengalu-alukan perbincangan daripada semua pihak supaya perkara ini dapat diselesaikan tanpa tindakan melulu," katanya.

Iklan

Burhanuddin turut memaklumkan, kira-kira empat bulan sekolah itu tidak mempunyai guru besar selepas guru besar lama berpindah ke sekolah lain di bandar ini.

Beliau tidak menafikan ketiadaan teraju utama mengakibatkan banyak perkara tidak dapat dilaksanakan secara efisien termasuk membuat keputusan dalam hal tertentu.

Sebelum ini tular gambar kain rentang dengan tulisan yang mendakwa sekolah itu tidak mempunyai guru besar selain masalah kekurangan peruntukan.

Dakwaan lain yang ditulis di kain rentang itu ialah keadaan tandas dan musala yang teruk selain bilik darjah yang uzur.