KOTA BHARU - Indeks Pencemaran Udara (IPU) sekitar radius lima hingga enam kilometer (km) di lokasi kebakaran barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2 di sini meningkat kepada bacaan 46 pada Isnin.
Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Mohamad Zamzani Ibrahim, berkata, bacaan itu lebih tinggi berbanding IPU kebiasaan antara 16 hingga 20 di kawasan terbabit.
"Bacaan IPU mula naik kepada 40 semalam dan hari ini kerana asap tebal akibat kebakaran yang berlaku meningkat lagi kepada 46.
"Keadaan tersebut bagaimanapun masih pada paras baik, namun dijangka boleh meningkat jika tiupan angin lebih kuat,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke lokasi kejadian di Padang Tembak, di sini, Isnin.
Bacaan IPU 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 adalah berbahaya.
Mohamad Zamzani memberitahu, JAS menggunakan alat Meter Grimm yang ditempatkan di sebuah sekolah sejauh 2.5 kilometer dari tempat kejadian untuk mengesan habuk atau gas bagi membantu mencerap data berhubung insiden kebakaran terbabit.
"Pihak kami akan terus memantau kualiti udara di kawasan ini setiap satu jam dan kita juga mengharapkan hujan untuk meredakan kebakaran serta asap.
"Jika bacaan mencapai 100, kami akan menyarankan supaya fasiliti awam seperti sekolah dan klinik ditutup selain memaklumkan kepada orang ramai terutama penduduk selain pemilik-pemilik kilang berdekatan supaya waspada,” katanya.
Dalam kejadian itu, timbunan ketulan mampat barangan kitar semula untuk menghasilkan biodiesel setinggi tiga hingga empat meter terbakar kira-kira jam 5.30 petang, Ahad.
Operasi memadam kebakaran oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan masih diteruskan pada Isnin dan dijangka memakan masa selama tiga hari hingga esok.
Sementara itu, Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, pemilik tempat pengumpulan barangan kitar semula terbabit mempunyai lesen sementara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Mereka memohon lesen sebagai tempat penyimpanan barangan kitar semula dan diluluskan oleh kami sejak Mei lalu.
"Bahan-bahan kitar semula ini akan diproses di sebuah kilang lain yang terletak tidak jauh dari tempat penyimpanan berkenaan,” katanya.