BUAT pertama kalinya, Tomok dan Siti Nordiana berkongsi pentas menyanyikan lagu popular mereka sepanjang lebih 20 tahun dalam industri muzik tanah air menerusi konsert Memori Mungkin Berulang.
Konsert yang bakal berlangsung pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur itu dianjurkan Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail di bawah syarikatnya Popsicle Records.
Ujar Tomok, 40, pihaknya amat berbesar hati kerana ini kali pertama bergabung dengan Siti Nordiana untuk mengimbau memori lama mereka yang mulakan karier nyanyian sejak di bangku sekolah.
"Pelbagai kejutan akan dipersembahkan sepanjang konsert ini berlangsung terutama lagu-lagu hits kami akan dinyanyikan sama ada saya mahupun Nana. Sepanjang kami bergelar penyanyi ini kali pertama kami berkolaborasi demi penyokong dan peminat.
"Kami mahu mengimbau kenangan lagu Nana duet bersama dengan Allahyarham Achik yang akan dinyanyi oleh saya. Saya yakin lagu-lagu hits seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih akan ditunggu-tunggu oleh semua peminat,” katanya.
Sementara itu, Siti Nordiana bersetuju untuk menjadi rakan konsert Tomok selepas menerima pelawaan daripada Tomok yang berhajat untuk menganjurkan konsert bersama dirinya.
"Ia satu peluang tidak wajar disia-siakan kerana ini antara hadiah terbaik buat peminat yang terus menyokong karier kami dari sejak awal 2000 hingga sekarang.
"Saya juga tidak menyangka lagu duet dengan Tomok diterima ramai sekali lagi cetus satu fenomena baharu untuk industri muzik masa kini yang dikelilingi generasi Z. Apa-apa pun saya bersyukur kerana lagu Memori Mungkin Berulang menerima sambutan luar jangka terutama kepada anak-anak muda,” ujarnya.
Tiket Konsert Memori Mungkin Berulang akan mula dijual 28 Oktober 2024 dengan harga permulaan RM98, RM198, RM298, RM398, RM498 dan VIP BOX RM5000. Tiket boleh dibeli menerusi dalam talian iaitu di Ticket2u.