KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan memiliki 38 penerbitan berkaitan bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau ‘Abuya’, bulan lalu.
Aishah Bula Tajudin, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhammad Dan.
Mengikut pertuduhan, suri rumah itu didakwa memiliki 38 hasil penerbitan larangan tanpa sebab yang munasabah, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini pada jam 11.30 pagi, 21 September lalu.
Di antara buku tersebut ialah ‘Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imarn Ashaari Muhammad At-Tamimi, Siri Terkini Era kasih Sayang Abuya Pemimpin Kasih Sayang dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya’.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin.
"Dia didakwa atas sat ukes melibatkan 38 penerbitan dilarang sebagaimana yang diwartakan kerajaan dan pengharaman memiliki penerbitan tersebut telah diwar-warkan oleh media.
"Selama tiga dekad pengharaman tersebut, namun masih ada individu memiliki item berkenaan secara bersembunyi,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Boestamam Ahmad yang mewakili Aishah merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan menjaga suaminya mengalami strok.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan, melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Farah Nabihah menetapkan sebutan kes itu pada 4 Disember ini.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, seorang usahawan, Ekhwan Catering yang dikaitkan dengan ahli GISBH, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dua buku berkaitan Al-Arqam.
Mohammad Nazif Jamluddin, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, S Mageswary.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada 11 anak itu didakwa atas pertuduhan berkenaan membabitkan penerbitan bertajuk ‘Perang Teluk Islam akan Kembali Gemilang’ dan ‘Meruntuh Berhala di Tiongkok’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ekhwan Catering, Kampung Sungai Penchala di sini, pada 10.30 pagi, tarikh sama, didakwa mengikut seksyen serupa.
Mohd Sabri mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjamin namun, Boestamam yang turut mewakili tertuduh, merayu anak guamnya diberi jaminan pada kadar rendah.
Sementara itu, Boestamam berkata, kadar yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi, sedangkan perniagaan anak guam musnah.
"Mohammad Nazif yang menghidap penyakit kencing manis, perlu menyara seorang isteri dan dia tidak terlibat dengan Kumpulan Al-Arqam yang diharamkan itu, maka saya rayu, kasihanilah dia,” kata peguam itu.
Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Zaim Rosli berkata, anak guamnya merupakan seorang usahawan yang menyediakan khidmat penyediaan makanan.
"Perniagaannya terjejas sejak dua bulan lalu, apabila dia terpalit dengan isu GISBH sedangkan dia tiada kaitan langsung dengan kumpulan terbabit.
"Ini menyebabkan akaun peribadi dan perniagaannya dibekukan sehingga menyukarkan usaha untuk mengumpulkan kadar jaminan,” katanya.
Mageswary kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.