Malaysia lawan Laos, India

Iklan
Malaysia lawan Laos, India

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) pada Isnin mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti akan mengadakan dua perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Laos dan India November ini.

Perlawanan pertama menentang Laos akan berlangsung pada 14 November dengan Laos bertindak sebagai tuan rumah, namun ia akan berlangsung di Bangkok, Thailand iaitu di Stadium Port Authority of Thailand (PAT).

Iklan
Iklan

Ia susulan Stadium Nasional Lao KM16 di Vientiane, Laos digunakan untuk perlawanan Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 antara Korea Utara bertemu Iran pada tarikh berkenaan.

Laos memilih Bangkok sebagai venue perlawanan bertemu Malaysia disebabkan mereka selepas itu akan menentang Thailand, juga di Bangkok untuk perlawanan kedua pada 17 November.

Iklan

Skuad Harimau Malaya kemudian akan terbang dari Bangkok ke India bagi perlawanan kedua menentang India.

Venue perlawanan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Iklan

Berdasarkan kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang dikeluarkan Khamis lalu Malaysia menghuni tempat ke-133, India di tangga ke-125, manakala Laos di kedudukan ke-187.