Baiki sistem lantikan pegawai elak kegiatan rasuah

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung penahanan dua individu disyaki menerima rasuah membabitkan pelantikan pembekal bahan mentah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di Kudat. (Gambar kecil: Abdul Rahman)

SHAH ALAM - Sistem pelantikan pegawai dalam sektor berkepentingan negara perlu dibaiki dengan cara memilih individu yang berkelayakan, berpengalaman dan telus untuk mengelakkan jenayah salah guna kuasa dan rasuah berleluasa.

Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kedah, Abdul Rahman Solehuddin Mohd Zain berkata, ia penting untuk mengelakkan salah laku terutamanya apabila melibatkan projek infrastruktur.

Iklan
Iklan

Ini kerana menurutnya, pegawai yang memegang dana besar dalam sesebuah projek berkepentingan berpotensi tinggi terlibat dengan jenayah berkenaan.

"Mungkin pihak bertanggungjawab boleh usahakan untuk meningkatkan kualiti sistem berkaitan pengambilan pegawai yang terlibat.

Iklan

"Wajar juga untuk mempersoalkan siapakah yang melantik pegawai yang terjebak dengan rasuah ini. Adakah mereka dilantik kerana kredibiliti ataupun sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, dua lagi individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menerima rasuah membabitkan pelantikan pembekal bahan mentah untuk penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di Kudat yang dianggarkan bernilai RM600,000.

Iklan

Penahanan dua individu lelaki dan wanita berusia sekitar 40-an itu adalah susulan daripada tangkapan seorang ahli perniagaan berkaitan kes tuntutan bagi mendapatkan bekalan untuk penyelenggaraan sekolah menggunakan dokumen palsu pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, kes tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan murid.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, harta pesalah rasuah wajar disita sepenuhnya agar mereka yang terlibat insaf dan bertaubat.

"Disebabkan jenayah yang dilakukan itu, pelabur luar akan jadi kurang percaya dengan negara kita. Bukan sahaja orang luar, malah masyarakat sendiri juga akan jadi tidak percaya dan ini perlu dihindari dari terjadi,” ujarnya.