TAWAU - Seorang pekerja ladang hilang selepas dibaham buaya ketika memancing di Sungai Tatulip berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Kalabakan, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 36 tahun dilaporkan hilang oleh rakannya yang menyaksikan kejadian terbabit sebelum bertindak menghubungi pihak polis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima maklumat terbabit selepas pihak polis menghubungi mereka bagi mendapatkan bantuan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Menurutnya, seramai lima anggota bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai dan Kalabakan dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 105 kilometer dari BBP Tawau.
"Berdasarkan maklumat awal, ketika kejadian, mangsa bersama rakannya memancing di sungai tersebut. Namun mangsa dibaham buaya sebelum jasadnya hilang.
"Kejadian itu hanya dilaporkan kepada pihak polis sekitar jam 7 malam disebabkan lokasi kejadian yang jauh dan tiada liputan rangkaian telefon.
"Pihak polis kemudian memaklumkan kepada BBP Tawau untuk operasi SAR mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurut Jemishin, operasi SAR yang memasuki hari kedua disambung semula pada Isnin dengan radius pencarian sejauh 3.2 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Bagaimanapun, mangsa masih belum berjaya ditemui dan operasi ditangguhkan lagi pada jam 7.55 malam.
"Operasi disambung semula esok dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.