Guna data DOSM, LHDN untuk penyasaran subsidi efektif - Mohd Syahir

Iklan
Mohd Syahir Sulaiman

SHAH ALAM - Kerajaan sepatutnya mengguna pakai data Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung pendapatan, perbelanjaan, tanggungan juga lokaliti, berbanding menggunakan data peribadi yang terkumpul di pengkalan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan Program Bantuan Subdidi Madani (BUDI) dalam merangka dasar penyasaran subsidi yang efektif.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman berkata, proses libat urus juga hendaklah dijalankan dalam kalangan masyarakat, pekerja, majikan, dan peniaga supaya data yang diperoleh menepati realiti kehidupan rakyat dan peniaga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam memastikan keberkesanan program teruji serta mengelak pelaksanaannya tergendala di kemudian hari, projek perintis wajar dilaksanakan terlebih dahulu.

"Namun pada hemat saya, penyasaran subsidi hendaklah bermula dengan pemulangan royalti.

Iklan

"Kembalikan lima peratus hak Terengganu dan Kelantan yang dinafikan selama ini supaya ekonomi Malaysia beroleh keberkatan, perbetulkan kitaran. Jernih di hulu, jernih di hiliran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kerajaan bakal muktamadkan kategori rakyat berpendapatan tinggi, T15 dalam tempoh sebulan selepas penilaian terperinci dilakukan berdasarkan sesebuah lokaliti dan bukannya terpakai pada angka pendapatan semata-mata.

Iklan

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pengelasan klasifikasi itu akan membabitkan kira-kira 10 juta isi rumah yang mana ia ditentukan bersandarkan kepada pendapatan boleh belanja bersih dan juga perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) dalam sesebuah keluarga.

Menurutnya, proses penilaian itu akan dibuat termasuk dengan melibatkan Kementerian Kewangan (MoF) untuk melihat data sedia ada dalam Sistem Pangkalan Data Utama PADU dan data-data yang lain.

Mengulas lanjut, Mohd Syahir yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN) menyifatkan polemik berkenaan pengkelasan isi rumah T15, dan terbaharu T10 yang timbul pasca pembentangan Belanjawan 2025, adalah kemuncak ‘falasi’ dasar ekonomi Madani.

Beliau mendakwa, situasi tersebut adalah kebiasaan yang dilihat sudah menjadi budaya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan jemaah Menteri, di mana suatu amalan ‘umum dahulu, kaji kemudian’, melibatkan pelbagai dasar dan polisi kerajaan.

"Sewajarnya, setiap perancangan dan formulasi dasar hendaklah berpandukan kepada ketepatan data, proses libat urus yang meluas, semakan realiti (reality check) di bawah, serta daya empati yang tinggi di pihak kerajaan,”ujarnya.