Enam negeri perlu sepakat pulihkan semula akidah pengikut GISBH

Iklan
Antara pengikut GISBH yang ditahan oleh pihak berkuasa sebelum ini.

SHAH ALAM - Setakat ini enam buah negeri sudah memfatwakan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) sebagai sesat.

Enam negeri berkenaan ialah Perlis, Selangor, Pahang, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang.

Iklan
Iklan

Di Sabah, GISBH merupakan ajaran sesat yang ke-17 diharamkan selepas Majlis Fatwa Negeri Sabah memutuskan ajaran, amalan, pegangan dan fahaman ahli jemaahnya bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Apa yang berlaku ke atas GISBH perlu dijadikan tauladan agar isu yang sama tidak berulang kerana kumpulan itu dan organisasinya sudah lama bertapak dalam negara.

Iklan

Persoalannya mengapa ia tidak dipantau ketat selama ini, hanya selepas pembongkaran oleh pihak polis barulah keburukan kumpulan itu mula timbul satu persatu.

Bagaimanapun Jabatan Agama Islam negeri terlibat mempunyai alasan tersendiri bagi menjawab dakwaan kononnya mereka tidak serius dalam membanteras isu ajaran sesat.

Iklan

Berdasarkan temubual bersama media, Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohd Naim menjelaskan tuduhan yang dibuat ke atas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan institusi lain di bawahnya adalah tidak benar.

Menurut Asmadi, walaupun polis memulakan pendakwaan, isu akidah lebih mencabar untuk dibuktikan melalui mahkamah.

Beliau memberi contoh jika ada rakaman ditularkan, pihaknya perlu memastikan bila rakaman itu dibuat kerana ada dalam kalangan mereka sudah melalui beberapa siri taubat.

"Akidah dan kepercayaan susah untuk dipulihkan, apatah lagi jika ketaasuban sudah menyelubungi seseorang. Tanpa ilmu kukuh dan mantap, mereka akan sentiasa tertipu," katanya.

Asmadi berkata, pihaknya memerlukan usaha bersungguh-sungguh untuk memulihkan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata, Jawatankuasa Fatwa mendapati GISBH masih meneruskan amalan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung versi Darul Arqam yang difatwakan sesat sebelum ini.

Menurutnya, antara ajaran menyeleweng GISBH ialah mempercayai Asy-Syeikh Muhammad Suhaimi tidak meninggal dunia, tetapi ghaib dan bakal muncul sebagai Imam Mahdi, selain pengasas Darul Arqam, Ashaari Muhammad (Abuya) adalah Pemuda Bani Tamim akan muncul sebagai pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

Justeru katanya, mana-mana ahli GISBH dan orang Islam yang mengamalkan fahaman dan ajaran GISBH wajib bertaubat serta meninggalkan fahaman dan amalan tersebut dengan segera.

Bagi memulihkan akidah ahli GISBH, Mohamad berkata, kerajaan Pulau Pinang menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) di Permatang Tok Gelam sebagai pusat pemulihan akidah.

Tambahnya, program pemulihan di KDH menekankan bimbingan asas agama Islam dan memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah berasaskan modul-modul seperti akidah, sirah, ibadah dan fikah