JAKARTA - Calon Bupati Kabupaten Mesuji nombor dua, Elfianah Khamami mencetuskan sensasi apabila klip kempennya yang 'menjanjikan syurga' tular di media sosial.
Dakwaan kempennya itu tular baru-baru ini selepas seorang pengguna Instagram memuat naik video kempen itu yang memperlihatkan dia mengeluarkan kenyataan tersebut.
"Kita dipanggil kelak, hai orang-orang Mesuji tempoh hari yang memilih calon nombor dua ayuh ikut bersamaku, masuk syurga bersamaku, kerana program calon ini menyantuni anak yatim," dakwa Elfianah.
Susulan itu, pegawai pilihan raya Mesuji, Robby Ruyudha mengesahkan bahawa klip video itu asli dan sedang melakukan siasatan terperinci terkait dakwaan membeli undi.
"Benar bahawa wanita itu merupakan Elfianah, namun pihak kami masih melakukan siasatan berhubung lokasi dan bila kempen itu dilakukan," katanya pada 24 Oktober lalu.
Sementara itu di media sosial, klip itu telah mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata tidak bersetuju dengan pendekatan kempen calon berkenaan.
"Kempennya itu seolah-olah menjual agama," ujar seorang pengguna media sosial.
"Bimbang juga ia membawa kepada kesesatan kerana dia menawarkan janji yang berada di luar kawalan seorang manusia," kata seorang lagi pengguna.
Elfianah bukanlah nama baharu dalam politik Mesuji, dia juga merupakan isteri kepada bekas Bupati Mesuji, Khamami, yang pernah pernah didakwa atas kes rasuah pada 2019.-Agensi