MUNGKIN isu ini agak sensitif untuk dibincangkan. Malah agak kasar jika penulis katakan masih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai pemikiran kelas ketiga.
Penulis yakin tidak ramai orang boleh terima kenyataan bila dilabelkan sebagai individu yang berfikiran rendah, ego dan sukar menerima pandangan orang lain.
Buktinya, pernah penulis menegur seorang pengunjung yang tanpa rasa bersalah merokok di premis makanan. Alasan penulis mudah, sudah terang lagi bersuluh premis terbabit tempat dilarang merokok.
Malah notis larangan tersebut ada terpampang di setiap sudut premis. Namun, bukan ucapan maaf yang penulis terima, sebaliknya pengunjung itu merungut dan hampir naik angin apabila ditegur.
Berbalik kepada topik. Sedar atau tidak, sebenarnya masih ramai lagi rakyat Malaysia yang memiliki sikap dan pemikiran kelas ketiga.
Mungkin kerana sikap suka ambil mudah atau pentingkan diri ini sudah sebati dengan jiwa. Budaya buruk dengan pendekatan ‘tidak apa’ cukup untuk menggambarkan mentaliti kelas ketiga lagi berfikiran sempit.
Bunyi macam pedih dan sukar diterima. Namun realitinya memang begini. Walaupun sudah membangun dan menuju negara maju, sikap rakyat Malaysia yang gagal mengurus sampah dengan cara yang betul juga memperlihatkan mereka tidak ubah seperti memiliki mentaliti rakyat kelas bawahan.
Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Walaupun begitu, segelintir masyarakat masih belum mampu membudayakan sepenuhnya amalan ini di tempat awam.
Tular baru-baru ini di TikTok seorang warga emas dikenali sebagai Tokki dilihat turun padang membersihkan Pantai Penarik, Setiu, Terengganu yang dicemari sampah sarap dibuang pengunjung.
Antara penemuan sampah paling tidak boleh diterima akal adalah lampin bayi yang dipenuhi najis.
Sudah puas 'berhealing', makan-makan, berseronok beramai-ramai, sampah ditinggalkan sana sini sehingga mengotorkan kawasan persekitaran.
Menjengah di ruangan komen, warga maya berkata perbuatan membuang sampah sesuka hati sudah sebati dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Itu belum lagi bertan-tan sampah yang dikutip di kawasan tumpuan pengunjung terutama di pantai dan pulau.
Kesemua sampah itu terdiri daripada sampah ringan yang dihanyutkan air ketika musim monsun serta yang dibuang oleh pengunjung di sekitar pantai.
Salah satu sebab lahirnya generasi pembuang sampah merata-rata adalah disebabkan sikap ibu bapa itu sendiri.
Sesetengah ibu bapa gemar membuang tisu, plastik, sisa makanan, puntung rokok dan bermacam-macam jenis sampah lagi termasuk dari tingkap kenderaan tanpa rasa bersalah.
Anak-anak yang berada di tempat duduk belakang kenderaan pula melihat kelakuan mereka dan boleh jadi terbiasa untuk melakukan perkara tersebut.
Justeru, ibu bapa haruslah menunjukkan contoh terbaik dan berakhlak. Jika anak-anak buang sampah merata-rata tegur anak tersebut, nasihat dan didik mereka bahawa buang sampah merata-rata merupakan sikap yang terkutuk.
Mentaliti kelas ketiga ini pun sudah banyak kali dibincangkan dan dibahaskan. Namun ia bagai mencurah air ke daun keladi atau masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Rakyat kita seolah-olah tidak merasakan kesalahan yang dilakukan itu serius kerana turut dilakukan oleh orang lain dan menjadi ikutan ramai.
Bagi mereka, ia sesuatu yang dibenarkan dan tidak perlu terlalu terkejut dengan situasi tersebut. Inilah masalah atau penyakit terbesar rakyat Malaysia dewasa ini.
Hakikatnya, tolak ansur terhadap perkara kecil ini tidak harus dibenarkan. Kesalahan tetap satu kesalahan.
Jika tolak ansur sebegini dibenarkan, ia dikhuatiri akan melahirkan sebuah masyarakat yang tidak takut akan undang-undang.
Kalau tanya pandangan orang ramai tentang sikap buruk ini, pasti akan ada yang berkata, ‘cakap apa pun, pi mai pi mai tang tu juga ’.
Justeru, bagi menyahut cabaran untuk menjadikan rakyat Malaysia bertaraf kelas dunia, mana yang masih lagi berperangai hodoh eloklah diperbaiki.
* Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Online