KPJ Healthcare Berhad dijangka melakukan pelaburan besar bagi melengkapkan rangkaian hospital di bawahnya dengan kemudahan terkini termasuk meneroka bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mencegah dan merawat penyakit.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, teknologi AI mampu menjamin perkhidmatan hospitaliti yang ditawarkan di negara ini adalah pada tahap terbaik.
Menurutnya, sudah sampai masanya pesakit mendapat rawatan yang sempurna dari aspek pencegahan penyakit dan rawatan terhadap pesakit.
"Kita tidak lagi bercakap tentang rawatan am semata-mata, tetapi soal ketepatan ubat dan rawatan sempurna yang harus diberikan kepada pesakit," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada hari terakhir The Malaysia International Healthcare (MIH) Megathrends 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad.
Pameran selama tiga hari anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare, disokong oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu berjaya menarik kehadiran 5,000 pengunjung.
Jelas Keat Chyuan, pameran julung kali anjuran KPJ Healthcare itu bukan sahaja dikunjungi oleh profesional dan pemain industri tetapi juga penggubal dasar, ahli akademik dan pelajar.
Difahamkan sehingga kini laman web rasmi MIH Megathrends menerusi sesi strim langsung mencapai anggaran 1.2 hingga 1.5 juta penonton dalam talian dalam tempoh dua hari.
Sempena status Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Keat Chyuan berkata, KPJ Healthcare akan mempromosikan penjenamaan MIH Megatrends ke tahap lebih tinggi bagi mewujudkan kesedaran yang lebih meluas tentang pentingnya penjagaan kesihatan di kalangan negara-negara anggota.
"Ini merupakan petanda yang baik apabila ia juga telah melepasi jangkaan dua juta penglibatan dalam talian membuktikan sektor penjagaan kesihatan di Malaysia sudah bersedia kepada penganjuran Megathrends peringkat ASEAN dan global,” ujarnya.
Keat Chyuan menambah, momentum ke arah penjagaan kesihatan berlaku disebabkan status negara menghampiri penuaan, serta peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kanser dan diabetes di kalangan masyarakat.
"Kami menjangkakan lebih 100 pempamer dari pelbagai segmen termasuk peranti perubatan, farmaseutikal dan profesional dari seluruh ekosistem penjagaan kesihatan akan menyertai MIH Megathrends 2025," katanya.
MIH Megatrends 2024 turut menampilkan 50 panel, termasuk pakar antarabangsa yang membincangkan isu kritikal berkenaan penjagaan kesihatan.