SHAH ALAM - Seorang ibu berasa sedih dan buntu apabila menerima soalan daripada anak lelakinya yang bertanya mengenai berapa lama lagi dirinya perlu mengambil ubat-ubatan.
Norraiza Md Nasir, 38, berkata, dia tidak mempunyai jawapan untuk diberikan kepada anak kedua daripada tiga beradik itu.
Menurutnya, anaknya, Mu’izzuddin Shah Mohd Mutasya, 15, atau lebih mesra dipanggil Muiz menghidap kanser darah sejak tahun lalu.
"Muiz disahkan menghidap kanser darah sejak 1 Mac 2023 ketika berusia 14 tahun. Sekarang dia masih dalam cuti persekolahan selama dua tahun.
"Pada mulanya Muiz mengalami sakit pada tulang dan sendi, sakitnya beralih-alih.
"Dia juga mengalami demam panas yang sangat tinggi, muntah, cirit-birit, kurang selera makan dan berat badan turun mendadak," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambah wanita yang juga peniaga kecil-kecilan secara dalam talian itu, dia sangat terkejut dan pilu ketika mendapat keputusan ujian darah anaknya.
Ujarnya, dia pernah mengalami tekanan dan cemas melihat keadaan Muiz namun terpaksa belajar mengawalnya.
"Saya membuat keputusan untuk belajar dan menyelidik mengenai kanser tersebut, cara rawatan terbaik dan punca ia berlaku.
"Saya mencari ilmu mengenai kanser darah dan bila berilmu, saya berasa lebih yakin dan tenang untuk menjaga serta merawat anak," katanya.
Menurutnya lagi, dia sentiasa memberikan Muiz kata-kata positif bagi menangani emosi.
Ujarnya, pengalaman dan pengajaran berharga dirasai adalah duit tidak boleh membeli kesembuhan serta kebahagiaan namun diuji sakit juga rezeki.
"Saya sentiasa ingatkan Muiz kanser bukan tiket untuk kematian, orang sihat pun boleh meninggal dunia. Ini semua rezeki yang ALLAH bagi.
"Kami satu keluarga perlu kuat dan sama-sama menjaga Muiz, lebih penting untuk dia tahu mengenai percaya kepada ALLAH," katanya.
Dalam pada itu, Norraiza turut berterima kasih kepada orang di sekelilingnya yang banyak memberi sokongan mental dan fizikal buatnya.
Norraiza turut bersyukur kerana Muiz memberi kerjasama yang baik dan bersemangat untuk sembuh.
"Suami dan anak-anak lain juga memberi kerjasama yang sangat baik untuk kesembuhan Muiz.
"Nasihat saya untuk ibu bapa yang dalam situasi sama, ilmu mengenai sesuatu penyakit itu penting agar kita tidak mudah terikut-ikut kata orang. Kita juga akan lebih yakin untuk kembali sihat," katanya.