JASIN - Seorang bekas setiausaha sebuah syarikat menggigit jari apabila wang saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah lebih RM80,000 lesap selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud dalam talian sejak Julai lalu.
Wanita berusia 50 tahun itu dipercayai tertarik dengan iklan pelaburan berkenaan di media sosial, Facebook sebelum menekan pautan dan dihubungkan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa dijanjikan dengan keuntungan RM8,000 pada penyertaan pertama, sebelum wanita itu membayar wang pendaftaran berjumlah RM1,235.
Menurutnya, mangsa yang telah menerima pulangan keuntungan kali pertama sebanyak RM8,000, berhasrat untuk menambahkan jumlah pelaburan itu bagi mendapatkan keuntungan lebih besar.
Katanya, mangsa telah mengeluarkan simpanan KWSP miliknya dan memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank beberapa individu melibatkan jumlah keseluruhan RM82,175 sejak Julai lalu.
"Dia hanya menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan sebelum itu.
"Sebaliknya diarah membuat bayaran tambahan RM20,000 sebagai cukai pengeluaran wang," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa
Tambahnya, mangsa kemudian hadir membuat laporan di Balai Polis Jasin dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.